Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menafikan dakwaan bahawa parti itu menjalankan kempen jelajah seluruh Selangor untuk memburuk-burukkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Katanya, dokumen setebal 91 halaman yang diedarkan dalam kempen itu juga merupakan fakta dan bukannya sengaja direka-reka untuk menjejaskan integriti Khalid.

"Saya sebenarnya tidak mahu terlibat dengan apa yang orang sebut sebagai kempen memburuk-burukkan ini. Saya rasa ia cuma satu kempen penjelasan, menjelaskan sebab kita perlu mengambil keputusan yang menyakitkan ini.

"Saya rasa rakyat dan pengundi wajar diberikan maklumat ini. Saya tak mahu memanggilnya sebagai kempen memburuk-burukkan, ia bukan begitu.

"Ia bersifat fakta. Kami mahu bentangkan fakta. Kempen memburukkan nama adalah perkara yang dilakukan BN selama ini," katanya dalam satu wawancara eksklusif dengan Malaysiakini.

Beliau juga menyifatkan Khalid sebagai rakan kepada keluarganya, namun "manusia berubah apabila mendapat kuasa".

"Saya tak tahulah..mungkin apabila kita memegang kuasa, kita berubah," katanya.

Tambahnya, keadaan itu berbeza bagi suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menurutnya tiada kuasa eksekutif walau menjadi ketua pembangkang.

"Maksud saya mahu pun Anwar tiada kuasa eksekutif. Sebagai ketua pembangkang, beliau ada pejabat dan beberapa perkara lain tetapi bukan kuasa," katanya.

Mengulas lanjut mengenai dokumen 91 halaman itu, Wan Azizah berkata beliau yakin bahawa fakta berkenaan dapat dibuktikan oleh pengarah strategi parti, Rafizi Ramli.

"Saya tanya Rafizi dan dia kata dia tak akan sebut tentangnya (dakwaan dalam dokumen) melainkan beliau ada bukti-buktinya.

"Awak (wartawan) lebih baik tanya pada Rafizi kerana kami pastinya tak akan buat begitu...

"Saya, Rafizi dan Anwar selama ini telah menjadi mangsa fitnah dan sekarang kami pastinya tak mahu berbuat demikian. Saya rasa ia (kempen) itu secara asasnya adalah langkah politik tetapi ia mempunyai asas.

"Kami terpaksa melakukannya (kerana) akhirnya apabila sejarah disingkap semula, apabila berlaku sesuatu yang salah, kami tidak hanya duduk diam. Kami lakukan sesuatu," katanya.

[Baca berita penuh]


Wawancara dijalankan oleh Ahmad Fadli KC, Aidila Razak dan Kow Gah Chie.

 

Lihat Komen
ADS