Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang perwakilan di Kongres Nasional PKR ke-10 mengingatkan para pemimpin tertinggi parti bahawa mereka juga akan disingkirkan sekiranya hanya berebut-rebut untuk mendapatkan kuasa.

Wakil PKR Pahang, Ahmad Nizam Hamid berkata demikian bagi mengingatkan para pemimpin tersebut ke atas empat kelemahan utama yang dikenalpasti melanda PKR pada waktu ini.

Beliau antara lainnya melihat bahawa kewibawaan parti kini merosot, manakala “sendi disiplin parti” juga semakin lemah.

Sambil menuding kepada para pemimpin tertinggi parti di atas pentas, beliau berkata parti itu juga semakin sukar untuk bertolak ansur, manakala para pemimpinnya juga didakwa dilanda “krisis keperibadian”.

Nizam seterusnya menggesa anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) agar menjaga tingkah laku mereka dan tidak hanya sekadar menagih kesetiaan pengikut bawahan.

"Yang di atas ini, jangan kamu pula buat 'ulah' (perangai buruk). Jangan kamu berebut-rebutan. Orang bawah, kamu kata 'taat, taat, taat, disiplin, disiplin'.

"(Pemimpin) yang di atas, hubaya- hubaya (berawaslah), atau kamu akan dibuang dalam bakul sejarah," katanya seraya disambut tepukan gemuruh daripada perwakilan.

Dalam ucapannya itu, beliau turut menggesa agar PKR Selangor mengerahkan sekurang-kurangnya 200 orang anggota dari setiap cabang untuk hadir ke kongres dan memenuhkan kerusi kosong di dalam Stadium Malawati di Shah Alam.

Lihat Komen
ADS