Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wanita Umno PP disaran usul tambah kerusi VP
Diterbitkan:  Aug 23, 2014 2:19 PM
Dikemaskini: 6:21 AM

Ketua Wanita Umno Pulau Pinang Norliza Abdul Rahim meminta kerjasama kesemua 13 bahagian sayap itu di negeri ini untuk mengemukakan usul satu kerusi tambahan bagi jawatan Naib Presiden Umno dan Naib Ketua Umno Bahagian diberikan kepada anggota sayap itu, pada persidangan perwakilan masing-masing.

    

Beliau berkata pihaknya merasakan mereka memerlukan wakil wanita di peringkat kepimpinan tertinggi untuk memastikan suara wanita didengar di peringkat atas berikutan jumlah keanggotaan sayap berkenaan yang begitu tinggi.

"Untuk kita melakukan satu perubahan, transformasi bukan sesuatu yang mudah tetapi kita mencuba. Kita bukan menidakkan hak kaum lelaki, kita cuma meminta sedikit kelebihan untuk kaum wanita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan pergerakan Wanita Umno Bahagian Jelutong di sini hari ini.

    

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil supaya kepimpinan tertinggi Umno mempertimbangkan satu kerusi tambahan bagi jawatan Naib Presiden Umno diberikan kepada anggota sayap itu supaya jawatan naib presiden itu menjadi tiga campur satu.

    

Norliza berkata beliau telah memaklumkan cadangan Shahrizat itu kepada kesemua 13 bahagian sayap itu dan sehingga ini lapan bahagian yang telah bersidang mengusulkan cadangan berkenaan dan yakin lima lagi bahagian akan turut mengambil langkah sama.

Selain itu, beliau berkata persidangan perwakilan Wanita Umno Pulau Pinang kali ini juga mengambil perhatian kepada isu pendakwaan terpilih dan pendidikan kerana pihaknya mahu satu penghakiman yang adil kepada semua pihak dan tiada pilih kasih terhadap sesuatu kes.

    

"Kalau kita tengok ada beberapa kesalahan yang dibuat oleh beberapa orang, tetapi sehingga hari ini tiada tindakan yang diambil...untuk sesetengah orang tindakan cepat yang diambil. Pendakwaan dan kes ini tidak dibawa dengan cara yang betul dan hanya beberapa kes terpilih telah diambil tindakan," katanya.

    

Beliau berkata pihaknya juga berpendapat sekolah satu aliran perlu diadakan yang merangkumi subjek untuk semua kaum bagi membolehkan semangat perpaduan dapat diterapkan dari peringkat bawah.

    

Dalam pada itu itu persidangan wanita Umno bahagian berkenaan meluluskan satu usul tanpa bahas iaitu menambah satu kerusi wanita untuk jawatan naib presiden Umno daripada jumlah tiga kerusi sedia ada dan menambah satu kerusi wanita untuk jawatan naib ketua umno bahagian.

    

Sementara itu di KUALA TERENGGANU, Pergerakan Puteri Umno Bahagian itu menyasarkan untuk menambah dan mendaftar lebih 800 anggota barunya dalam usaha menguatkan Umno bahagian berkenaan sehingga tahun depan.

    

Ketuanya Nia Notieya Zainuddin berkata penambahan anggota Puteri baru itu selaras dengan sasaran di peringkat pusat yang mahu mendaftar anggota baru sehingga 500,000 orang.

    

Beliau berkata ketika ini keanggotaan Puteri Umno Bahagian itu berjumlah 4,200 orang dan beliau yakin bahagian itu mampu berbuat demikian dengan cara yang lebih bersistematik dan mendapat kerjasama semua anggota.

    

-Bernama

Lihat Komen
ADS