Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PKR hanya akan mengemukakan nama presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor yang baru kepada sultan Selangor.

Katanya, PKR mengambil maklum pandangan PAS untuk mengemukakan dua nama kepada sultan, namun partinya itu tetap akan hanya mengemukakan satu nama – Wan Azizah.

“Setakat ini, keputusan kita buat, kekal keputusan telah diambil seminggu yang lalu, iaitu mengambil maklum pandangan PAS tentang dua nama, dan keputusan untuk menamakan Wan Azizah sebagai calon Pakatan Rakyat,” kata Anwar.

Beliau turut menafikan bahawa Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat semalam membincangkan mengenai pengakuan berkanun oleh wakil rakyat PAS untuk membuktikan sokongan majoriti ADUN Selangor kepada Wan Azizah.

Katanya, mesyuarat itu sebaliknya hanya membincangkan pandangan jawatankuasa guaman tiga parti, melibatkan para peguam – Asmuni Awi dari PAS, Gobind Singh Deo dari DAP dan R Sivarasa dari PKR.

Katanya, keperluan untuk tanda tangan pengakuan berkanun itu “tidak berbangkit”.

“(Mesyuarat membincangkan) apakah langkah seterusnya yang harus diambil dan implikasi undang-undang dalam proses ini, setelah kita mempersembah (nama calon MB) pada tuanku,” katanya lagi.

Beliau mengulas laporan mengenai 13 ADUN PAS Selangor yang didakwa masih enggan menandatangani sokongan secara hitam putih pada Wan Azizah.

Laporan awal Malaysiakini menyebut, hal ini merupakan agenda utama mesyuarat Pimpinan Pakatan Rakyat semalam.

Lihat Komen
ADS