Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerjasama kastam-polis diharap banteras penyeludupan di Sabah

Kerajaan negeri sentiasa mengiktiraf peranan serta sumbangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam pembangunan pesat sektor ekonomi di negeri Sabah, kata Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat negeri Datuk Hamisa Samat.

Beliau berkata tidak mudah bagi sesebuah agensi penguat kuasa melaksanakan tugasnya, lebih-lebih lagi yang bertanggungjawab mengumpul hasil daripada aktiviti ekonomi bagi negeri yang bersaiz besar dengan sempadan serta perairan beratus-ratus kilometer panjangnya.

"Dengan komitmen tinggi serta semangat berpasukan ditunjukkan setiap anggota, JKDM Sabah khususnya di Tawau telah memberi perkhidmatan memuaskan mengikut lunas-lunas undang-undang sedia ada.

"Jabatan Kastam dapat mengumpul cukai hasil aktiviti ekonomi rakyat dengan baik, termasuk pergerakan melintasi sempadan dan jumlahnya meningkat dari semasa ke semasa walaupun ada kalanya menunjukkan penurunan.

"Sebagai agensi penguatkuasaan, JKDM bukan sahaja bergerak dalam ruang lingkupnya mencari hasil, tetapi juga merangkumi tanggungjawab keselamatan dan sosial," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2014 peringkat JKDM Sabah di Tawau, semalam.

Beliau berkata pihaknya berharap agar JKDM akan terus meningkatkan mobiliti penguatkuasaannya bagi mengekang aktiviti penyeludupan di negeri itu.

Sementara itu, Pengarah Kastam Negeri Sabah Datuk Dr Janathan Kandok berkata kerjasama bersepadu dalam kalangan penguat kuasa di negeri itu adalah sangat penting bagi mengekang aktiviti penyeludupan.

"Oleh itu saya berharap kerjasama JKDM dengan penguat kuasa lain termasuklah polis dapat diteruskan bagi membanteras aktiviti penyeludupan di Sabah," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS