Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dua hari selepas ucapan sulungnya sebagai ketua Pemuda PKR (AMK) dalam kongres tahunan pergerakan itu dipulaukan, Nik Nazmi Nik Ahmad kini tampil mendakwa berjaya meraih sokongan.

Malah, dalam sidang media yang dilihat bagi menzahirkan sokongan itu, sebahagian besar exconya hari ini hadir bersama ketua baru AMK itu.

"Satu perbincangan telah diadakan di antara saya, Dr Afif Bahardin dan kesemua pimpinan AMK Pusat yang melakukan 'walkout' kelmarin. 
 
"Persefahaman yang telah dicapai bersama di dalam perbincangan tersebut ialah kesemua pimpinan AMK pusat telah menyatakan sokongan penuh sebagai Ketua AMK Pusat dan AMK akan bersama menetapkan halatuju dan masa depanAMK,"  katanya.

Sebelum ini, seramai 16 exco AMK yang baru dipilih keluar dewan persidangan menjelang ucapan Nik Nazmi kerana tidak puas hati dengan kemenangannya, meninggalkan hanya sembilan orang di atas pentas.

Nik Nazmi dilihat bakal melalui jalan sukar apabila semua regunya tewas dalam pemilihan merebut jawatan dalam badan itu di tangan kumpulan "AMK Baru" pimpinan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Caves Amirudin Shari.

Nik Nazmi berkata, beliau telah berbincang bersama timbalannya Dr Afif Bahardin dan mencapai persefahaman untuk membincangkan isu-isu pemilihan secara dalaman.

"Pimpinan AMK Pusat juga bersetuju bahawa semua isu yang timbul berkenaan jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) akan dibincangkan mengikut saluran dalaman parti.

"Saya yakin semua anggota memahami bahawa menang dan kalah adalah adat biasa persaingan," katanya pada sidang media selepas sesi penggulungan Kongres PKR di Shah Alam hari ini.

Setelah sering ketinggalan, Nik Nazmi sebelum ini mencapai mengejutkan lawannya apabila keputusan pemilihan di bahagian terakhir di Pensiangan, Sabah, memihak kepadanya.

Lihat Komen
ADS