Keganasan rogol ke tahap tak masuk akal

       

Beberapa bulan yang lepas, negara kita telah dikejutkan dengan dua kes rogol yang amat menggemparkan.

Pertamanya adalah di Kelantan di mana dua remaja perempuan telah dirogol beramai-ramai dengan kejam oleh sekumpulan lelaki termasuk seorang bapa bersama dua orang anak lelakinya.

Ini diikuti oleh satu lagi kejadian dilaporkan di Johor, di mana seorang kanak-kanak perempuan berumur 13 tahun dikatakan dirogol beramai-ramai oleh enam orang anggota tentera.

Terdapat beberapa kes rogol lain yang dilaporkan di media saban hari dan ada antaranya melibatkan tahap keganasan yang tidak masuk akal.

Malahan, statistik dari pihak polis mendedahkan bahawa terdapat peningkatan hampir tiga kali ganda kes rogol yang dilaporkan dari tahun 2000 hingga 2009.

Pada tahun 2012, hampir 3,000 kes rogol telah dilaporkan. Ini bermakna lapan kes rogol dilaporkan setiap hari.

Kemungkinan besar lebih banyak lagi jenayah seksual yang tidak dilaporkan, menjadikan kadar sebenar kejadian mungkin lebih membimbangkan dari yang disangka seperti yang dapat dilihat sekarang.

'Aku peduli'

Situasi yang membimbangkan ini telah mendorong kami untuk menganjurkan Hentikan Rogol: Aku Kisah! , satu tindakan untuk menentang rogol dan keganasan seksual yang lain.

Inisiatif ini untuk:

  • Meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa rogol dan keganasan seksual perkara yang langsung tidak boleh diterima.

 

  • Menuntut tanggungjawab setiap negeri untuk menangani jenayah rogol dengan efektif.
  • Setakat ini, kami telah menganjurkan forum awam di Kelantan dan pelbagai aktiviti di Sabah dan pada waktu ini kami sedang menganjurkan beberapa program yang lain di seluruh negara.

    Selain daripada perhimpunan ini yang diadakan di Kuala Lumpur, program yang sama juga telah dilangsungkan di Marudi (Sarawak), Kota Kinabalu (Sabah), dan Ipoh (Perak).

    Semuanya merupakan penentangan terhadap jenayah rogol dan pelbagai keganasan seksual.

    Apa kami mahu?

    Walaupun Malaysia mempunyai undang-undang tersedia untuk menghukum perogol, ia masih gagal di peringkat negara, negeri dan masyarakat untuk menyedari betapa seriusnya keganasan seksual yang kini menjadi kelaziman di negara ini.

    Kami menyeru semua rakyat Malaysia – daripada pihak pentadbiran perdana menteri hinggalah rakyat jelata – untuk menyedari bahawa jenayah rogol satu wabak di negara kita.

    Setiap orang haruslah mengambil langkah untuk mengatasi punca rogol hingga ke akar umbi.

    Bagaimanapun, kami juga menyeru kerajaan dan agensi-agensi yang berkaitan untuk mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mengatasi masalah ini:

    (1) Pencegahan

    Memperkenalkan pendidikan pencegahan dan program kesedaran umum untuk mengatasi pemikiran stereotaip terhadap peranan dan tanggungjawab terhadap sesuatu gender yang telah mendorong keganasan seksual berlaku di negara ini.

    Kementerian Pelajaran, Kesihatan, serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menggalas tugas yang penting untuk menjadikan perkara ini satu realiti.

    Perlaksanaan awal dan efektif terhadap program ini satu langkah yang penting untuk menyingkirkan prejudis yang berlaku sejak sekian lama.

    Prejudis ini mengakibatkan penafian hak seorang gadis dan wanita serta membahayakan keselamatan mereka dalam masyarakat.

    Statistik kejadian-kejadian keganasan perlu dikumpul secara sistematik dan dijadikan maklumat umum demi menjelaskan betapa seriusnya keganasan seksual agar tindak balas berkesan dilaksanakan.

    (2) Perlindungan

    Kami menggesa kerajaan mengambil langkah-langkah perlu untuk memastikan perlindungan sewajarnya diberikan kepada wanita dan kanak-kanak perempuan di Malaysia yang menjadi mangsa keganasan seksual.

    Kerajaan juga seharusnya menyediakan pusat-pusat khidmat yang secukupnya di setiap negeri di Malaysia terhadap mangsa keganasan seksual, tanpa mengira agama, bangsa atau kerakyatan seseorang mangsa itu.

    Mangsa rogol memerlukan persekitaran selamat, bebas daripada trauma yang berpanjangan dan perlu dibantu dalam menegakkan keadilan.

    Dalam masa yang sama, masyarakat di Malaysia juga haruslah komited dalam meningkatkan kesedaran dan sedia mengambil tindakan terhadap insiden keganasan seksual yang sedang berlaku di kalangan masyarakat.

    Kita harus sedar bahawa menjadi tanggungjawab setiap individu dan komuniti untuk mewujudkan masyarakat yang selamat dan tidak stereotaip terhadap jantina, atau dalam erti kata lainnya keprihatinan terhadap gender .

    (3) Pendakwaan & hukuman

    Penguatkuasaan yang efektif untuk memastikan pesalah laku keganasan seksual dapat dipertanggungjawabkan.

    Protokol menangani keganasan seksual yang sedia ada perlu dipatuhi dengan lebih tegas.

    Penguatkuasa undang-undang, pegawai kehakiman, pegawai perundangan haruslah dilatih dengan lebih baik untuk memastikan penyiasatan dan pendakwaan dilakukan dengan berkemahiran, cepat dan pantas, menyeluruh, dan dapat dilaksanakan ke tahap tertinggi, tanpa mengambil kira tempat kejadian, bangsa, atau agama mangsa jenayah seksual.

    Buat masa ini, kurang daripada 10 peratus kes rogol yang dilaporkan di bawa ke muka pengadilan.

    Daripada jumlah ini, dianggarkan kurang dari satu pertiga berjaya disabitkan.

    Keadaan sebegini mengesahkan kekurangan kerajaan Malaysia dalam menangani keganasan terhadap wanita secara berkesan.

    (4) Peruntukan ganti rugi atau pampasan

    Memastikan terdapat khidmat sokongan yang berkesan dengan mudah terhadap mangsa keganasan seksual di segenap pelosok negara.

    Usaha-usaha ini termasuklah menyediakan tempat perlindungan, sesi kaunseling dan khidmat pemulihan.

    Sistem penjara juga haruslah diubah dengan memberi tumpuan terhadap tempoh rehabilitasi yang lebih panjang di dalam penjara bagi pesalah laku keganasan seksual.

    Sejajar dengan isu di atas, kami juga ingin memberi peringatan kepada kerajaan Malaysia supaya mengambil langkah dan melaksanakan tanggungjawab seperti terdapat bawah Perakuan Umum No 19 oleh Konvensyen berkaitan Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW).

    Mengapa Citizens Against Rape?

    Citizens Against Rape ditubuhkan pada tahun 1987 rentetan daripada peristiwa rogol dan bunuh dengan kejam seorang kanak-kanak berumur sembilan tahun, Ang Mei Hong di Kuala Lumpur.

    Sekali lagi ia menjadi landasan bagi orang awam untuk memprotes terhadap jenayah rogol dan bunuh yang kejam seperti: Audrey Melissa George (1999), Noor Suzaily Mukhtar (2000), Canny Ong (2003).

    Pada hari ini, kami menggelar diri kami Citizens Against Rape untuk memberikan satu jalan dan harapan untuk semua tanpa mengira jantina, umur, etnik, agama atau bangsa.

    Untuk menamatkan jenayah ini. Kita semua harus memainkan peranan.


    GABUNGAN ORGANISASI WANITA BERTINDAK BAGI KESAMARATAAN GENDER (JAG) terdiri daripada Pusat Kesedaran Wanita (WCC), All Women’s Action Society (AWAM), Women’s Aid Organisation (WAO), Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER), Sisters in Islam (SIS), Association of Women Lawyers (AWL), Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS), Perak Women for Women Society (PWW) dan Sabah Women Action Resource Group (SAWO).

    Komen

    PERINGATAN:
    Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

    Malaysiakini
    terkini untuk anda