Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isteri Mejar Zaidi tak dibenar ikuti perbicaraan

dikemaskini Isteri Mejar Zaidi Ahmad hari ini diarah meninggalkan galeri awam mahkamah tentera dan tidak lagi mendengar perbicaraan suaminya yang dituduh memberi keterangan media tanpa kebenaran pihak atasan tentera.

Arahan itu dikenakan ke atas Shafinah Abdul Hamid, 48 tahun, selepas beliau dicam oleh saksi kelima pendakwa, Sarjan Udara Jamal Ibrahim sebagai isteri kepada Zaidi.

Dalam keterangannya, Jamal mengaku mengecam Shafinah kerana sering ke rumah Zaidi di Taman Bertam Indah, Kepala Batas bagi mengikuti program usrah yang dianjurkan oleh Zaidi.

"Mahkamah setuju untuk isteri Mejar Zaidi tidak berada dalam mahkamah. Saya setuju ia tidak adil (untuk perbicaraan), " kata Kolonel Saadon Hasnan yang bertindak sebagai yang dipertua mahkamah.

Arahan itu dibuat selepas permohonan dilakukan pendakwa, Mejar Ahmad Sanusi Ali yang berpendapat Shafinah berpotensi untuk menjadi saksi pendakwa mahupun pembela sekiranya perjalanan perbicaraan menuntut beliau berbuat demikian.

Sewaktu disoal oleh pihak pendakwa, Jamal menjawab soalan dari kandang saksi dengan matanya merenung ke lantai pada sepanjang masa.

Beliau hanya mengangkat wajahnya untuk mengecam isteri Mejar Zaidi yang pada masa itu berada di galeri awam.

Tak ada bukti Zaidi panggil media

Sewaktu disoal balas oleh peguam Hanipa Maidin, Jamal mengaku beliau tidak mempunyai sebarang bukti yang menunjukkan Zaidi membuat sebarang kenyataan akhbar atau memaklumkan media untuk memberi kenyataan.

Hanipa: Adakah kamu sendiri tahu apa-apa mesej atau dokumen yang menunjukkan kenyataan akhbar?

Jamal: Tidak.

Hanipa: Kamu pun tak ada bukti Mejar Zaidi panggil media, betul?

Jamal: Betul.

Sarjan Udara Jamal Ibrahim bertugas di Pengkalan Udara Kepala Batas, Butterworth.

Perbicaraan ditangguhkan pada jam 1.54 petang dan akan bersambung semula pada 2 September akan datang pada jam 9 pagi.

Lihat Komen
ADS