Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kami bukan jadi punca kejatuhan MAS'
Diterbitkan:  Aug 27, 2014 8:25 AM
Dikemaskini: 12:29 AM

Dua kesatuan sekerja Malaysia Airlines (MAS) dari Sarawak hari ini mengecam pihak tertentu kerana membuat kenyataan negatif dan mendakwa prestasi lemah syarikat itu sekarang berpunca daripada sikap tidak sensitif kesatuan sekerjanya terhadap pelan transformsi yang diperkenalkan kerajaan.

    

Kesatuan Pekerja Penerbangan Sarawak (AWUS) dan Jawatankuasa Staf Eksekutif Sarawak (SESC) dalam satu kenyataan bersama semalam menyelar kenyataan tidak bertanggungjawab itu, yang bukan sahaja dianggap mereka sebagai tidak berasas, malah mencerminkan sikap naif dan biadab beberapa individu.

    

Kata kenyataan itu, kesatuan sekerja menyumbang kepada pelaksanaan beberapa inisiatif pengurusan seperti menyokong langkah penjimatan kos, pelanjutan rundingan perjanjian bersama (CA) mengenai perkara kewangan dan memelihara keharmoniam tenaga kerja.

    

Menurut kenyataan itu, pelbagai kesatuan sekerja yang wujud dianggotai mereka daripada pelbagai latar belakang dan bidang seperti kru teknikal, kejuruteraan dan pentadbiran, dengan anggota jawatankuasanya terdiri daripada petugas berpengalaman, yang kesetiaan dan kepatuhan mereka kepada MAS tidak boleh dipersoalkan.

    

"Kesatuan ini ingin mengulangi bahawa kami bukan menjadi punca kejatuhan MAS kerana bukan kesatuan yang mengurus atau mentadbir syarikat penerbangan ini," kata kenyataan itu yang ditandatangani presiden AWUS Haswandy Morshidi dan presiden SESC Abdul Rahman Hassan.

    

Menurut kenyataan itu lagi, dalam keadaan getir sekarang, kerajaan, melalui Khazanah, sedang melakukan perubahan organisasi secara besar-besaran dalam syarikat penerbangan itu, yang turut melibatkan penyusunan semula secara besar-besaran serta pengurangan jumlah tenaga kerja.

    

"Sambil menjangka perubahan secara besar-besaran akan dilakukan dalam beberapa bulan akan datang, AWUS dan SESC meramalkan pendekatan strategik yang diambil akan menjamin daya maju syarikat itu dan wujudnya amalan tadbir urus baik terhadap sumber manusia," katanya.

    

- Bernama

Lihat Komen
ADS