Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
CAP gesa APMM rampas pukat rawa sorong
Diterbitkan:  Aug 27, 2014 9:40 AM
Dikemaskini: 7:28 AM

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Perikanan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) supaya bertindak tegas dengan merampas pukat rawa sorong di Kedah dan Perlis.

Katanya, ia bagi membela nasib lebih 2,000 nelayan pantai di kedua-dua negeri itu yang terjejas kehidupan mereka sejak sekian lama.

 

"Tindakan sedemikian bukan saja boleh dilakukan di laut ketika bot pukat rawa sorong beroperasi tetapi juga di darat di mana bot-bot tersebut berlabuh di pengkalan masing-masing," kata Presiden CAP, S M Mohamed Idris.

                    

Menurutnya, walaupun masalah itu sudah berlarutan sejak lebih 30 tahun yang lalu, namun sehingga kini tidak ada tindakan berkesan yang diambil oleh pihak berkuasa berkenaan.

 

Katanya, Ketika ini hampir 200 bot rawa sorong berpangkalan di 16 tempat, 3 di Perlis dan 13 di Kedah.

"Kawasan yang paling serius terancam oleh aktiviti bot rawa sorong itu ialah di Kuala Sanglang dan Yan Kedah," kata Mohamed dalam satu kenyataan.

 

"Di bawah Akta Perikanan 1985 pukat rawa sorong diharamkan penggunaanya kerana ia memerangkap atau membunuh anak-anak ikan dan udang (benih) serta mencemarkan dasar laut dan boleh mengancam sumber perikanan negara pada masa akan datang.

"Mereka yang melanggar akta tersebut boleh dikenakan denda RM20,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.

 

Tinjauan CAP di Kedah dan Perlis, tegasnya, mendapati bot pukat rawa sorong kerap beroperasi pada waktu malam, mulai jam 7  petang hingga keesokan hari.

"Aktiviti ini dilakukan pada jarak antara 10 meter hingga dua batu nautika dari pantai.

 

"Nelayan pantai yang terlibat mengadu kepada CAP bahawa ikan dan udang di Zon A ketika ini telah berkurangan berikutan bot pukat rawa sorong yang semakin aktif beroperasi menyebabkan pendapatan mereka merosot dari RM100 sehari kepada RM40 sehari.

 

"Masalah ini sudah berpuluh kali diadukan kepada pihak berkenaan, namun keadaannya tidak berubah dan sumber pendapatan nelayan pantai di negeri tersebut terus merosot dari masa ke semasa.

 

"CAP bimbang dengan keadaan ini dan jika tidak ditangani segera sumber perikanan akan terancam dan mengalami kepupusan.

"Nelayan-nelayan pantai yang terlibat dengan masalah itu juga akan terputus mata pencarian, sekaligus menggugat masa depan kehidupan keluarga mereka serta sektor perikanan negara," katanya.

 

 

 

Lihat Komen
ADS