Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Gadis muda Fatin Ilani, 20, memberanikan diri naik ke tingkat 60 sebuah bangunan tinggi di Ampang Kuala Lumpur semata-mata untuk bergambar dengan mesej mengutuk kekejaman Israel di Gaza.

Selepas itu gambarnya disebarkan meluas di Internet dan masa berlalu kemarahan orang ramai terhadap negara Yahudi itu semakin hari semakin pudar.

Tetapi, bagi gadis jelita itu, ia bukan apa yang diharapkannya setelah melakukan aksi nekad itu.

"Isu ini adalah isu berkala, kita tidak boleh kalau jadi sesuatu isu itu baru kita nak boikot, berkempen atau berdoa," katanya.

Fatin berkata, beliau mengambil inisiatif itu bersama seorang jurugambar terkenal kerana sudah menjadi “trend” di Malaysia orang ramai sedar sesuatu isu apabila ia diperkatakan meluas.

"Kalau dah jadi viral (meluas), baru orang akan perasan akan sesuatu isu," kata mahasiswa jurusan perniagaan itu ketika diwawancara di KiniTV di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Gadis pemalu itu hadir ke pejabat Malaysiakini bersama seorang adik lelakinya. Beliau tampak sopan berbaju kurung motif flora dan tudung bawal berwarna peach .

Beliau berharap gambar berlatar belakang ibu negara pada waktu malam yang bergemerlapan itu sedikit sebanyak akan mengingatkan rakyat Malaysia tentang penderitaan penduduk Gaza.

Bukan perkara bodoh

Fatin sebelum ini menarik perhatian ramai apabila bergambar memegang plakad “Save Gaza” (Selamatkan Gaza) di atas koridor tingkat atas sekali Menara IB dengan ketinggian hampir 300 meter di ibu negara.

Beliau ketika itu berbaju kelabu kebiru-biruan dan berkain songket dengan beberapa gaya.

Gambar yang dirakam lensa Keow Wee Loong itu kemudiannya disebarkan meluas di alam maya termasuk melalui Facebook, Twitter dan blog serta mendapat pujian melimpah ruah.

Bagaimanapun terdapat juga reaksi negatif dihamburkan padanya oleh segelintir pihak.

Bagaimanapun, sokongan keluarga membuatkannya tabah menerima.

"(Sokongan) terutamanya daripada keluarga saya. Dalam perkara ini mereka berkata, kamu tidak buat perkara bodoh dan kami syukur kamu selamat" katanya sambil ketawa kecil.

"Kita perlu memberi sokongan terhadap Gaza. Cuba bayangkan kalau Malaysia diserang, apa perasaan kita kalau kita tidak dapat sokongan sesiapa pun?"

Menurut Al Jazeera , rakyat Gaza kini boleh menarik sedikit nafas lega apabila Israel dan kumpulan pejuang Islam Hamas kini bersetuju mengadakan gencatan senjata ke arah menamatkan tujuh minggu pertempuran berdarah di Gaza.

Beribu-ribu rakyat Palestin meraikan kegembiraan itu kini.


NADIA OTHMAN wartawan pelatih di Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS