Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bahan letupan ditemui di rumah pam Raub
Diterbitkan:  Aug 27, 2014 9:00 PM
Dikemaskini: 2:01 PM

Sejumlah bahan letupan dan alat peletup ditemui disembunyikan dalam empat buah kotak di salah sebuah stor konkrit di Rumah Pump Lower Level, Bukit Kolam Air, dekat Raub semalam.

    

Bahan letupan yang terdiri daripada sejumlah 600 batang dinamit yang masih aktif, beberapa gulungan wayar pengecas sepanjang 1700 meter, dan satu kotak berisi detonator itu, ditemui oleh seorang pekerja penyelenggaraan Perbadanan Air Pahang (PAIP) ketika melakukan kerja-kerja pembersihan.

    

Stor itu terletak bersebelahan sebuah stor lain di atas bukit, di kawasan berpagar penyelenggaraan PAIP dan dipercayai tertutup dengan semak samun selama ini menyebabkan kewujudan binaan itu tidak disedari.

    

Menurut pekerja berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Aziz, beliau yang terkejut dengan penemuan itu kemudian segera memaklumkan kepada penyelianya sebelum membuat laporan polis kira-kira jam 11 malam semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub.

Bertindak dari laporan berkenaan sepasukan anggota polis dari unit Pemusnah bom IPD Raub melakukan pemeriksaan terhadap stor tersebut dan menemui peralatan dan bahan letupan itu yang dipercayai telah lama ditinggalkan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Zakaria Ahmad ketika dihubungi mengesahkan penemuan berkenaan.

    

Tinjauan Bernama di tempat kejadian mendapati, kawasan untuk menaiki tempat kejadian dikawal ketat oleh pihak polis dan media dilarang daripada mendekati kawasan itu.

    

Pasukan polis kemudian kelihatan membawa keluar alat letupan tersebut yang diisi dalam beberapa buah kotak ke dalam trak peronda polis sebelum meninggalkan kawasan tersebut kira-kira pukul 5.30 petang ini.

    

- Bernama

Lihat Komen
ADS