Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB Johor ingatkan majikan tidak abai pekerja
Diterbitkan:  Aug 28, 2014 3:15 PM
Dikemaskini: 7:20 AM

Majikan di Johor diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang pekerjaan dan tidak mengabaikan hak pekerja.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata persekitaran yang harmoni di kawasan industri perlu dititikberatkan majikan bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti rusuhan pekerja.

    

"Pada zaman ini, kebanyakan pekerja termasuk pekerja asing mempunyai pengetahuan dan boleh berfikir tentang kebajikan mereka.

    

"Sebagai pekerja, sudah tentunya mereka memerlukan suasana keharmonian di kawasan industri. Jika itu tidak dititikberatkan, maka keadaan seperti inilah (rusuhan) yang akan berlaku," katanya kepada pemberita selepas merasmikan forum pengeksport peringkat Johor anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), di Johor Bahru hari ini.

    

Beliau mengulas kejadian rusuhan pekerja asing di kilang membuat komponen pemacu cakera keras di Taman Perindustrian Kelapa Sawit, dekat Kulaijaya, Isnin lepas.

    

Mohamed Khaled berkata beliau percaya terdapat alasan tertentu yang menyebabkan para pekerja terbabit sanggup bertindak sedemikian.

    

"Saya tidak tahu apa puncanya tetapi mesti ada sebab, namun, para pekerja terbabit tidak boleh mengambil undang-undang di tangan sendiri," katanya.

    

Dalam kejadian itu, kira-kira 800 pekerja asing mengadakan mogok bermula pukul 9 pagi dan membakar kereta milik seorang pengurus kilang serta merosakkan bangunan kilang yang dipercayai kerana tidak puas hati terhadap majikan yang dikatakan mengabaikan kebajikan mereka.

    

Sebanyak 75 anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) dan 50 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya dikerah ke lokasi kejadian bagi mengawal keadaan.

    

Keadaan pada awalnya berakhir dengan baik selepas kedua-dua pihak mengadakan rundingan, bagaimanapun, bertukar ganas apabila sebahagian daripada mereka bertindak membakar satu daripada empat blok kilang berkenaan malam semalam.

Polis sehingga semalam menahan 42 pekerja rakyat Nepal bagi membantu siasatan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS