Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menangkis tanggapan bahawa pihak polis membuat siasatan terpilih berhubung kes melibatkan pemimpin politik pembangkang.

MP Bagan Datoh itu berkata polis telah melakukan siasatan terhadap semua kes yang telah dilaporkan dan menyerahkan kertas siasatan kepada pihak pendakwaan.

"Saya fikir, pihak polis telah menyiapkan semua kertas siasatan dan kita bukan pihak pendakwaan. Pendakwaan tidak dilakukan oleh PDRM.

"Kami hanya menyediakan kertas siasatan dan serah kepada pihak pendakwaan.

"Jadi soalan itu patut ditujukan pada pihak pendakwaan," katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat agung ke-23 Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (KKM) di PWTC hari ini.

Beliau menjawab soalan pemberita berhubung siasatan dan pendakwaan yang kini dilakukan terhadap beberapa ahli politik dari Pakatan Rakyat.

Pada 19 Ogos lalu, MP Padang Serai N Surendran dituduh menghasut berhubung kenyataannya mengenai rayuan kes Liwat II yang dihadapi Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kelmarin, ADUN Seri Delima, RSN Rayer juga didakwa di sebuah mahkamah sesyen di Pulau Pinang berhubung mengeluarkan perkataan 'celaka' terhadap tiga orang ahli Umno.

Hari berikutnya kemudian, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli pula mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan mengaibkan dan mendatangkan kemarahan kepada ahli Umno.

Ditanya sama ada pihak polis membuat siasatan terhadap laporan mengenai pemimpin NGO pendesak Melayu PERKASA seperti Datuk Ruslan Kassim, Zahid berkata siasatan telah dibuat.

"Laporan polis memang dibuat. Siasatan telah dibuat. Kertas siasatan itulah kita berikan kepada pihak pendakwa," katanya.

Semalam, Ketua AMK Nik Nazmi Ahmad mempersoalkan tindakan kerajaan yang membiarkan ancaman ketua penerangan PERKASA Ruslan Kassim untuk memancung kepala empat wakil rakyat PAS.

Katanya, sikap itu berbeza dalam kes melibatkan pemimpin Pakatan Rakyat, yang didakwa mengikut Akta Hasutan dan undang-undang lain.

Lihat Komen
ADS