Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) akan sentiasa bersama dan menyokong Malaysia Airlines (MAS) dengan menggunakan perkhidmatannya sebagai pengangkutan utama dalam melakukan promosi pelancongan.

Presidennya Hamzah Rahmat berkata anggota persatuan itu akan terus mengutamakan MAS dalam promosi dan penjualan pakej-pakej pelancongan antarabangsa.

"MAS telah lama menjadi ikon penerbangan nasional. Oleh itu kami (Matta) merasakan perlu terus membantu MAS menghadapi saat-saat yang sukar ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Hamzah berkata pihaknya yakin MAS akan bangkit semula dan mampu meneruskan operasinya walaupun mengalami kerugian.

Katanya kemerosotan jualan MAS bukan petanda bahawa jumlah kedatangan pelancong dari luar negara merosot.

"Memang diakui kedatangan pelancong dari China terjejas seperti yang dilaporkan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz ekoran insiden kehilangan pesawat MAS penerbangan MH370 pada Mac lalu.

"Namun kini kedatangan pelancong terus meningkat walaupun selepas tragedi MH17.  Matta pun tidak menerima sebarang laporan daripada anggota persatuan yang menyatakan perniagaan mereka merosot," katanya.

Semalam, MAS mengumumkan kerugian sebelum cukai untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2014 meningkat kepada RM302.62 juta berbanding RM165.89 juta pada suku sama tahun lepas.    

MAS juga memaklumkan kepada Bursa Malaysia bahawa pendapatannya merosot lima peratus kepada RM3.59 bilion berbanding RM3.78 bilion sebelum ini berikutan faktor hasil dan tempat duduk yang lebih rendah selepas tragedi MH370.

Pesawat MAS Penerbangan MH17 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Sementara itu, penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada radar pada 8 Mac sebelum laluan penerbangannya dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS