Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pejabat PM: Kes Akta Hasutan 'soal mahkamah'
Diterbitkan:  Aug 30, 2014 12:30 PM
Dikemaskini: 7:16 AM

Pejabat Perdana Menteri menafikan dakwaan bahawa kerajaan menjalankan pendakwaan terpilih dengan menggunakan Akta Hasutan untuk mendakwa barisan pemimpin Pakatan Rakyat.

'Sebarang pertuduhan mengikut Akta Hasutan ditangani oleh mahkamah. Badan kehakiman Malaysia adalah bebas, seperti yang boleh dilihat dalam keputusan ke atas banyak kes sebelum ini,” kenyataan itu dipetik.

Ia turut menggariskan hasrat kerajaan untuk membentangkan Rang Undang-undang Keharmonian Nasional bagi menggantikan Akta Hasutan menjelang penghujung 2015.

“Sehingga undang-undang baru ini berkuatkuasa, kes sedia ada perlu dibicarakan bawah undang-undang sedia ada.”

Menurut kenyataan itu, penggubalan undang-undang itu memakan masa kerana ia masih dikaji melalui rundingan dengan masyarakat sivil dan orang awam.

Kerajaan turut menghargai saranan dari Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) mengenai kandungan rang undang-undang tersebut, yang menerima kritikan keras dari kumpulan pendesak berhaluan kanan.

"Seperti negara lain, kita berusaha untuk mencari keseimbangan di antara kebebasan berusara dan keharmonian nasional di zaman media online,” kenyataan itu dipetik.

Pada minggu ini sahaja, sekurang-kurangnya empat orang pemimpin Pakatan Rakyat didakwa mengikut Akta Hasutan.

Beberapa orang lagi kini masih disiasat mengikut undang-undang sama.

Polis semalam menyoal naib pengerusi PKR Johor, Hassan Karim mengikut Akta Hasutan kerana mengkritik tindakan sultan Selangor dalam mengendali krisis perlembagaan di negeri itu.

Pada hari Khamis, MP Padang Serai N Surendran didakwa mengikut akta hasutan buat kali kedua dalam tempoh sembilan hari kerana mendakwa wujud konspirasi politik untuk menghumbankan Anwar ke penjara.

Pada hari sebelumnya, ADUN Seri Delima RSN Rayer didakwa dengan dua tuduhan kerana menggelarkan pemimpin Umno “celaka”.

Pada 26 Ogos pula, MP Shah Alam, Khalid Samad didakwa mengikut undang-undang hasutan kerana mencadangkan agar kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor digugurkan.

Ada di kalangan MP pembangkang yang didakwa atau disabitkan kesalahan tahun ini, termasuk Teresa Kok (Seputeh), Tian Chua (Batu), mendiang Karpal Singh (bekas MP Bukit Gelugor).

Penasihat DAP Lim Kit Siang juga disoal polis pada 4 Ogos lalu atas kenyataan berhubung kematian misteri pembantu politik Teoh Beng Hock.

Lihat Komen
ADS