Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP: Harmoni dalam iklan Merdeka hanya ilusi
Diterbitkan:  Aug 30, 2014 3:35 PM
Dikemaskini: 7:43 AM

Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, perjalanan Malaysia untuk mencapai kebebasan, kemakmuran dan harmoni seperti digambarkan dalam iklan sambuta Hari Kemerdekaan adalah masih jauh.

Menurutnya, suasana yang digambarkan dalam iklan tersebut tidak lebih daripada ilusi semata-mata.

"Adakah kita benar-benar bangsa yang bebas merdeka atau adakah kita lalai dan leka dengan ilusi kemerdekaan dan kebebasan yang dijaja oleh media tradisional arus perdana yang dikawal oleh kerajaan?," soalnya.

Dalam kenyataannya, Lim menarik perhatian kepada perbincangan di Twitter mengenai mesej dalam iklan sambutan tersebut.

Perbincangan dengan topik “#IfMerdekaAdsWereReal (Jika iklan Merdeka itu benar) antara lainnya membangkitkan kekecewaan pengguna laman sosial tersebut ke atas ilusi yang digambarkan dalam iklan sedemikian.

"Iklan ini cuba menampilkan kehidupan yang seakan-akan sebuah lakonan, sedangkan rakyat Malaysia tetap hidup dalam ketakutan dan rasa saling tidak senang antara satu sama lain.

Dasar pecah, perintah

"Ia disebabkan perbezaan warna kulit, serta toleransi dan kesefahaman silang budaya yang rendah.

"Setelah 57 tahun Merdeka, Malaysia masih lagi merangkak dalam usahanya membina sebuah masyarakat yang harmoni tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan fahaman politik," kata Lim.

Beliau turut memetik kenyataan twit seorang pengguna yang berkata, kempen 1Malaysia tidak perlu dijalankan sekiranya jika iklan Merdeka itu menggambarkan realiti sebenar.

"Setakat sekarang, slogan yang dilaungkan oleh perdana menteri ternyata sekadar penjenamaan, dan hakikatnya tidak membawa maksud apa-apa," kata MP Gelang Patah itu.

Menurutnya walaupun Malaysia sudah bebas dari penjajahan British, dasar pecah dan perintah kolonialis itu masih kekal.

"Kita masih lagi menggunakan undang-undang British untuk menafikan hak bersuara dan berpendapat seperti Akta Hasutan 1948 dan pelbagai lagi undang-undang yang menindas," katanya.

Lim seterusnya menggesa rakyat Malaysia agar bersatu memandangkan negara ini tidak pernah "begitu berpecah dan terpisah" sejak kemerdekaan.

"Ini adalah cabaran terbesar bukan sahaja untuk rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, daerah dan pandangan politik tetapi juga bagi pemimpin dalam pelbagai ruang di seluruh negara," katanya.

Lihat Komen
ADS