Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ezam: S'gor juga 'krisis peribadi' Anwar
Diterbitkan:  Aug 31, 2014 2:26 PM
Dikemaskini: 7:29 AM

Bekas orang kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ezam Mohd Noor mendakwa, ketua pembangkang itu terpaksa melaksanakan Langkah Kajang untuk menukar menteri besar Selangor bagi menyelesaikan krisis peribadinya.

Dalam temubual bersama Mingguan Malaysia , Ezam berkata, kemelut Selangor bukan berpunca daripada krisis pentadbiran negeri itu semata-mata.

"Anwar mahu trofi (jawatan menteri besar) itu bukan kerana rakyat, bukan kerana Abdul Khalid buat sesuatu yang merugikan rakyat atau Anwar mahu buat sesuatu yang menguntungkan rakyat.

"Anwar terpaksa melakukan 'Langkah Kajang' serta macam-macam langkah untuk menukar menteri besar hanya untuk menyelesaikan krisis peribadi beliau.

“Sebab itu saya nak ingatkan rakyat Selangor dan penganalisis politik, ini bukan krisis Selangor tetapi krisis peribadi Anwar.

"Beliau melibatkan krisis peribadi dan mahu mengheret seluruh institusi negeri untuk menyelesaikan krisis peribadi beliau. Ini puncanya dan bukan kali pertama berlaku," kata Ezam.

'Tak pernah hormat PAS'

Ezam turut mendakwa, Anwar tidak pernah menghormati PAS sebagai sebuah parti.

Ini kerana, menurutnya, ketua umum PKR itu pernah menolak untuk mengadakan sebarang usaha untuk bersama dengan parti Islam itu.

Jelas Ezam lagi, Anwar sejak dari awal hanya mahu menggunakan PAS sebagai alat untuk mencapai cita-cita peribadinya.

"Kita pernah berjumpa dengan Anwar dan mencadangkan kepada Anwar demi menyelamatkan agama dan bangsa, kita duduk bersama PAS dan bersatu tetapi Anwar menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha untuk bersama PAS.

“Maknanya, beliau memang tidak  percaya kepada perjuangan PAS.

"Ini orang PAS kena faham. Anwar bukan seorang yang menghormati PAS sebagai sebuah parti dari awal lagi," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS