Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan negeri Pulau Pinang akan mengadakan majlis raptai bagi persiapan istiadat penghormatan penerimaan mayat tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di Jabatan Penerbangan Awam (DCA) di Bayan Lepas dekat George Town, esok.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Phee Boon Poh berkata majlis raptai di DCA Pulau Pinang itu akan diadakan pada pukul 10 pagi untuk melihat pergerakan tiga abu mayat yang dijangka dibawa balik ke negeri ini Selasa ini.

Katanya majlis raptai itu turut diadakan di perkarangan Gereja St Anne di Bukit Mertajam pada pukul 2 petang esok.

"Setakat ini, kerajaan negeri dimaklumkan tiga abu mayat mangsa pesawat MH17 akan dibawa balik ke Pulau Pinang. Mereka ialah sepasang suami isteri Loh Yan Hwa dan suaminya Fan Shun Po serta pramugara Sanjid Singh.

"Loh berasal dari Greenlane manakala suaminya yang merupakan warga Hong Kong akan turut disemadikan di sini (Pulau Pinang), manakala abu Sanjid yang berasal dari Alma, Bukit Mertajam akan dibawa balik ke sana untuk upacara keagamaan sebelum disemadikan," katanya ketika dihubungi Bernama di George Town hari ini.

Phee berkata kerajaan negeri dimaklumkan tiga abu berkenaan dijangka tiba pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari Selasa ini dan terdahulu majlis istiadat penghormatan akan diadakan di di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebaik pesawat yang membawa jenazah kumpulan ketiga mangsa pesawat berkenaan tiba.

Katanya 30 anggota keluarga Fan dari Hong Kong akan turut menyambut 'kepulangan' lelaki itu di Pulau Pinang.

"Setakat ini mayat ibu Loh, Tan Siew Poh yang turut terkorban dalam nahas itu masih belum dapat dikenal pasti," katanya.

Penerbangan MH17 sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lepas.

Pesawat Boeing 777 itu, yang membawa 298 penumpang dan anak kapal, telah ditembak jatuh namun sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab.

- Bernama

Lihat Komen
ADS