Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Majlis Peguam lancar kempen 'mansuh Akta Hasutan'
Diterbitkan:  Sep 3, 2014 12:00 PM
Dikemaskini: 4:16 AM

Satu jawatankuasa bawah Majlis Peguam akan melancarkan kempen untuk menuntut pemansuhan Akta Hasutan 1948.

Jurucakap Jawatankuasa Peguam Muda Kebangsaan (NYLC), Syahredzan Johan kempen itu akan dijalankan dalam tempoh setahun bagi mengumpul sokongan ke atas usaha tersebut.

“Selepas setahun kami akan lebih kuat. Kami akan menunjukkan kepada kerajaan bahawa kami mendapat sokongan – kami ada ramai orang yang menyokong kempen kami,” katanya kepada Malaysiakini .

Selain pemansuhan Akta Hasutan, kempen itu juga bertujuan untuk menimbulkan kesedaran dan membentuk kumpulan yang boleh mencetus sokongan ke atas kempen tersebut.

Kempen itu timbul susulan siri pendakwaan dan siasatan mengikut Akta Hasutan sejak sebulan lalu, yang menyebabkan empat orang ahli politik Pakatan Rakyat dan seorang pensyarah undang-undang diheret ke mahkamah.

Bagi mencapai sasarannya, Syahredzan berkata satu jawatankuasa kerja dianggotai 50 individu akan menderaf satu senarai “soalan lazim” mengenai akta tersebut dan berinteraksi dengan orang awam dalam talian, termasuk melalui perbincangan di Twitter dengan topik “#mansuhaktahasutan”.

Tumpuan luar bandar

Selain itu, jawatankuasa itu juga akan menggerakkan kempen di kawasan luar bandar dan bekerjasama dengan NGO dan parti politik.

Tambahnya, NYLC juga akan mendapatkan bantuan BN kerana percaya parti komponennya sedia menyertai usaha berkenaan.

Katanya, parti seperti MCA dan sayap Pemuda GERAKAN sudahpun menyatakan pendirian menentang Akta Hasutan.

“Kita perlu tumpu kepada akar umbi; kita perlu keluar dari pusat bandar untuk mendapatkan hasilnya. Jika tidak, kita akan dilihat seperti banyak kempen masyarakat siviil yang lain.

“Kita akan dilihat seperti kelas pertengahan, elitis, atau sesuatu yang tidak begitu melibatkan masyarakat umum di luar sana.

"Sebab itulah kita perlu pergi jauh dari semua itu. Kita mahu tunjukkan kepada rakyat bahawa Akta Hasutan melibatkan semua orang, bukan hanya yang tinggal di Kuala Lumpur dan pusat bandar di Malaysia,” katanya.

Kumpulan itu antara lainnya akan mengumpul tandatangan bagi menyatakan bantahan ke atas akta tersebut.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS