Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SAMM: Jangan banding PPS dengan JMF
Diterbitkan:  Sep 3, 2014 1:25 PM
Dikemaskini: 5:30 AM

NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menolak kenyataan yang membandingkan layanan pada Pasukan Peronda Sukarela Pulau Pinang (PPS) dengan pasukan Askar Timbalan Setia Johor (JMF).

Penyelaras bersama SAMM, Ahmad Anwar Asyraf merujuk kepada kenyataan pengerusi NGO pemantau jenayah MyWatch, R Sri Sanjeevan yang turut menuntut agar kewujudan pasukan keselaman Johor itu turut dipersoalkan.

Menurut Ahmad Anwar, tindakan membandingkan JMF dan PPS itu adalah dangkal dan tidak tepat kerana penubuhan pasukan keselamatan tersebut dilindungi oleh undang-undang negeri.

Penubuhannya juga merupakan hak dan keistimewaan istana dan negeri Johor, kata Ahmad Anwar lagi dalam kenyataannya.

“Untuk membandingkan JMF dan PPS adalah tidak tepat. Tidak sewajarnya JMF yang mempunyai kesahan undang-undang dan sejarah ini dimanipulasi dalam sengketa politik domestik.

“Sehubungan itu, SAMM Johor memperingatkan semua pemain politik tempatan, dalam kita berpolitik, kita juga harus mempunyai etika dan moral.

“Fakta yang dibentangkan perlu mempunyai asas,” katanya lagi.

Jelasnya, pasukan Askar Timbalan Setia ditubuhkan sejak 1886 sebagai memenuhi syarat Perjanjian Setia 1885 antara Kerajaan Johor dan Kerajaan Great Britain.

“JMF ini juga terlindung di bawah Enakmen No 13 Negeri Johor – Johore Military Forces Enactment 1915,” katanya.

Tambahnya, usaha untuk membubarkan pasukan tersebut melalui Rang Undang-Undang Johore Military Forces (Disbandment and Repeal) 1994 tidak diluluskan.

“Tun Salleh Abbas, Ketua Hakim Negara ketika itu telah menasihatkan pihak Istana Bukit Serene bahawa JMF ini telah diwujudkan lebih dahulu daripada Rejimen Askar Melayu DiRaja dan penubuhan serta pengekalan JMF ini adalah sebahagian hak dan keistimewaan Istana dan Negeri Johor.

“Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai legitimasi dan hak untuk membatalkan keistimewaan hak tersebut tanpa persetujuan Sultan Johor.

“Pandangan Tun Salleh telah disokong oleh Neil Lawson yang menjadi Penasihat Perundangan semasa perbincangan menuntut kemerdekaan,” katanya lagi.

Sanjeevan dilaporkan membangkitkan perkara itu seperti dilaporkan portal The Rakyat Post semalam.

Lihat Komen
ADS