Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskini Tiga parti dalam Pakatan Rakyat sudah menyerahkan nama calon menteri besar baru Selangor kepada istana, kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau juga berkata, kini terserah kepada pihak itu untuk memutuskannya, termasuk kemungkinan berlaku pilihan raya negeri atau tidak.

Katanya, beliau tidak mahu terlibat dalam perkara tersebut dan hanya menjalankan kerja sebagai menteri besar interim buat masa sekarang.

"Itu (pembubaran DUN) terpulang kepada budi bicara Sultan. Saya tak mahu menghuraikan kerana saya tahu mahu berlaku spekulasi.

"Perkara utama ialah mencari pengganti menteri besar," kata beliau dalam sidang media selepas mesyuarat exco Selangor hari ini.

Ketika ditanya mengenai bakal penggantinya, Khalid berkata beliau enggan terlibat dalam perbincangan mengenai calon tersebut.

Bagaimanapun beliau berharap agar penggantinya itu rajin dan mampu mentadbir Selangor dengan baik.

Titah sultan

"Saya berharap beliau (pengganti) mempunyai program yang lebih baik, bawa pembangunan lebih baik dan bekerja keras," katanya sambil tersenyum.

Istana Selangor minggu lalu menghantar surat rasmi kepada parti Pakatan Rakyat yang menitahkan agar parti berkenaan menghantar lebih daripada dua nama calon menteri besar sebelum hari ini

Surat berkenaan dialamatkan kepada Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, dengan salinan kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Ia antara lainnya menetapkan agar calon yang dinamakan itu beragama Islam dan berketurunan Melayu menurut Perkara L1 (2), Undang-undang Tubuh Negeri Selangor.

Kandungan surat yang dilihat Malaysiakini itu tidak merujuk syarat mengenai jantina calon menteri besar dan ini bermakna istana Selangor tidak menolak pencalonan Wan Azizah secara khusus.

PKR dan DAP hanya menghantar satu nama Isnin lalu iaitu Wan Azizah sementara PAS mahu menghantar tiga nama.

Lihat Komen
ADS