Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Aktivis yang baru dilepaskan dengan ikat jamin hari ini kerana dituduh menghasut, ditahan semula oleh polis di bawah Akta Hasutan kerana didakwa menghina sultan Selangor.

Ali Abd Jalil ditahan berikutan tulisan di laman Facebooknya yang didakwa menghina sultan Selangor berikutan kemelut di negeri itu.

Siswa institut pengajian tinggi swasta itu didakwa melakukan kesalahan menerbitkan penerbitan yang menghasut bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948.

Menurut peguamnya, Michelle Yesudas, Ali kini dibawa ke Shah Alam dan dijangka dihadap ke Mahkamah Sesyen Shah Alam petang ini.

Sebelum itu, berlaku sedikit pergelutan apabila Ali ditahan sejurus mendengar taklimat selepas membayar wang ikat jamin.

Michelle yang tidak berpuas hati dengan tindakan itu meminta waran tangkap daripada pihak polis.

Menurut waran tangkap yang diberi kepada peguamnya itu, Ali didakwa menulis kenyataan yang menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 18 Ogos pada jam 11.42 malam.

Sehubungan itu, Michelle turut menyifatkan tindakan pihak polis yang menahan anak guamnya itu sebagai “isytihar perang dengan rakyat”.

Justeru, beliau menegaskan supaya Akta Hasutan dimansuhkan segera.

"Ini tidak kelakar. Ini mengisytiharkan perang dengan rakyat. Apa mereka ingin buat selepas tahan (Ali) dengan kasar.

"Selepas ahli politik, wartawan, kini rakyat pula. Kita minta buang Akta Hasutan sekarang juga," katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Michelle sebentar menulis di Twitter bahawa Ali berdepan tiga pertuduhan dalam tempoh 24 jam.

"Tahniahlah. Pecah rekod," tulisnya.

Lihat Komen
ADS