Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Aktivis pro-Akta Hasutan, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata undang-undang tersebut sepatutnya diperketatkan lagi dengan memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Beliau yang kini mengusahakan satu NGO baru dengan nama Malaysia Mempertahankan Akta Hasutan berkata beliau akan menjalankan kempen untuk mendapatkan sokongan agar akta tersebut dikekalkan.

"Akta hasutan telah menangkap dan memenjarakan mereka yang jahat mulut yang hasut rakyat sejak tahun 1948.

"Akta ini baik, kenapa nak hapus pula? Sepatutnya dikekalkan dan diketatkan lagi. Patut diletakkan hukuman gantung sampai mati kalau hasut lebih daripada tiga kali," katanya.

Peguam itu berkata, bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan akan melancarkan kempen tersebut esok.

Hasil daripada petisyen itu akan dijadikan satu memorandum yang akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong serta perdana menteri.

"Kita akan buat kempen ini secara fizikal dan maya. Kita akan buat jelajah bagi memberi penerangan tentang akta ini dan kumpul tanda tangan.

"Selepas itu kita akan serahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri. Tempoh masa kita ialah sehingga Parlimen bersidang. Masa itu kita akan serah (memorandum)," katanya lagi.

Memorandum pada Agong

Akta berkenaan setakat ini memperuntukkan hukuman maksimum denda RM5,000 dan tiga tahun penjara.

Begitupun, tekanan terus disuarakan dari kalangan pemimpin politik dan anggota masyarakat sivil agar akta yang disifatkan lapuk dan zalim itu terus dimansuhkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagaimanapun semalam berkata kerajaan hanya akan "mengkaji" sama ada akta tersebut perlu dimansuhkan.

Kenyataan itu menyimpang daripada janjinya pada 2012 untuk memansuhkan akta tersebut, selepas mendapat tekanan dari kumpulan sayap kanan termasuk menteri kabinetnya.

Akta berkenaan terus menerima kontroversi susulan siri siasatan dan pendakwaan ke atas aktivis dan pemimpin Pakatan Rakyat mengikut Akta Hasutan sejak bulan lalu.

Antaranya, pensyarah undang-undang Universiti Malaya, Azmi Sharom yang dituduh mengeluarkan kenyataan yang menghasut berhubung krisis perlembagaan di Perak.

Wartawan Malaysiakini Susan Loone juga disiasat mengikut akta sama minggu lalu.

Semalam, aktivis Ali Abd Jalil pula didakwa dengan tiga pertuduhan bawah akta tersebut.

Lihat Komen
ADS