Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu pihak polis menyiasat insiden kebocoran kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sehingga ke akar umbi supaya mereka yang bertanggungjawab boleh dihadapkan ke muka pengadilan.

"Kita harap pihak polis mengambil tindakan tegas dan seterusnya satu hukuman seberat-beratnya (diambil terhadap pelaku)," katanya pada sidang media di Vientiane, Laos untuk menjelaskan perkembangan terbaru mengenai perkara itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kebocoran terbaru melibatkan kertas Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 selepas kebocoran kertas Sains 018, 028 dan 038 yang dimaklumkan semalam.

Kertas-kertas peperiksaan berkenaan akan diadakan semula pada 30 Sept ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, berkata kebocoran itu mungkin dilakukan dengan sengaja sebagai tindakan sabotaj terhadap dirinya dan Kementerian Pendidikan.

Katanya beliau tidak akan membuat sebarang andaian berhubung siapa dalang di sebalik insiden itu tetapi mahu pihak polis tidak menolak kemungkinan itu.

Muhyiddin berada di ibu negara Laos ini untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan Asean Kelapan (ASED ke-8))yang bermula hari ini.

Beliau yang begitu marah dan dukacita atas kejadian itu, berkata semua pihak yang terlibat sebelum ini telah diingatkan supaya sentiasa mematuhi segala peraturan dan prosedur penyediaan dan pengendalian keratas solan bagi mengelak kejadian seumpama itu.

Menyifatkan kejadian kali ini amat ketara dalam sejarah peperiksaan awam, katanya beliau sebelum ini telah mengingatkan pihak Lembaga Peperiksaan mengenai langkah-langkah keselamatan yang perlu dipatuhi sama ada di peringkat negeri, daerah mahupun di peringkat sekolah.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu membuat andaian kemungkinan penglibatan pegawai Lembaga Peperiksaan tetapi mahu pihak polis membuat siasatan untuk mengenal pasti dalang yang membocorkan kertas-kertas soalan.

Justeru, katanya, sebuah jawatankuasa bebas akan ditubuhkan dalam masa terdekat bagi membantu pihak kementerian dan polis bagi mengenal pasti punca sebenar kebocoran itu berlaku.

Muhyiddin juga terkilan kerana ia bukan sahaja menjejaskan integriti kementerian malah menunjukkan pihaknya tidak tahu bagaimana mengendalikan peperiksaan.

Beliau selaku menteri bertanggungjawab meminta maaf sekali lagi kepada ibu bapa serta pelajar kerana sebelum peperiksaan, mereka telahpun mengalami tekanan dan kini terpaksa menduduki semula peperiksaan itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau akan bertemu dengan pihak Lembaga Peperiksaan secepat mungkin untuk membincangkan bagaimana kerahsiaan dan kesahihan kertas peperiksaan boleh diperkukuhkan lagi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS