Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Dasar kerajaan yang dibuat pemimpin terdahulu dan diteruskan pemimpin masa kini, berada di landasan yang betul dan berkesan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata ini terbukti apabila negara memperoleh banyak kejayaan termasuk diiktiraf di peringkat antarabangsa dan menjadi negara contoh bagi banyak negara lain.

"Kita mampu laksanakan agenda pembangunan sosioekonomi negara kita dengan meletakkan Malaysia sebagai negara yang bertambah maju dan lebih berjaya," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Sungai Siput dan bangunan baharu Wisma Umno Sungai Siput di Sungai Siput, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Umno Bahagian Sungai Siput Datuk Mohd Zolkafly Harun merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Lintang.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno, berkata pakar ekonomi juga menjangkakan Malaysia mampu mencapai tahap negara maju lebih awal apabila pertumbuhan ekonomi dan pendapatan isi rumah terus meningkat selain peluang pekerjaan semakin bertambah.

    

Sekiranya Malaysia kucar-kacir, katanya, tidak mungkin ia mencapai pembangunan pesat dan percambahan ekonomi seperti yang dinikmati semua rakyat sekarang.

"Kita perlu rasa bersyukur kerana dasar yang dilaksanakan oleh pimpinan dan kerajaan kita betul, malah terus kita perbaiki dan perkukuh," katanya.

Muhyiddin berkata Umno juga perlu meneruskan perjuangan bersama rakan-rakan lain dalam Barisan Nasional supaya keamanan dan kemakmuran yang dikecapi hari ini berterusan untuk generasi masa hadapan.

"Kita bekerja sebagai satu pasukan untuk tentukan kejayaan kita dan hari ini kita sudah berjaya, perjuangan kita sama iaitu untuk membangun dan memajukan Malaysia supaya semua kaum dapat nikmat," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan turut meluluskan permohonan Umno Bahagian Sungai Siput untuk membina sebuah sekolah agama berasrama penuh di kawasan itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS