Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PERKASA anggap nasihat Dr M 'bapa pada anak'
Diterbitkan:  Sep 15, 2014 11:54 AM
Dikemaskini: 6:26 AM

PERKASA Selangor menganggap teguran yang dilontarkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad termasuk Melayu 'pemalas' sebagai "nasihat seorang bapa kepada anak".

 

NGO pendesak Melayu itu berkata teguran yang diberikan kerana beliau amat memahami ragam dan karenah rakyat setiap kaum ini berdasarkan pengalaman hidupnya.

"PERKASA Selangor menerima dengan hati yang terbuka, apa juga teguran yang dilontarkan. Malah berterima kasih atas kesudian beliau berkongsi ilmu dan pengetahuan yang beliau ada.

"Hanya mereka yang tidak boleh menerima kenyataan serta berkepentingan sahaja yang tidak dapat menerima pandangan dan teguran beliau," kata NGO itu dalam satu kenyataan dalam Facebook rasmi mereka.

PERKASA Selangor mengulas kenyataan Dr Mahathir yang mempertahankan kenyataannya bahawa Melayu adalah pemalas, sekalipun beliau berdepan pelbagai kritikan.

Dalam temuramah eksklusif dengan Mingguan Malaysia semalam, negarawan itu dilapor berkata sepanjang menjadi presiden Umno, beliau berleter sepanjang masa dan tidak hendak menipu diri untuk menyatakan orang Melayu malas.

Beliau turut memberi contoh di institut pengajian tinggi tempatan bahawa orang Melayu masih belum rajin apabila 70 peratus mahasiswa adalah perempuan dan mendakwa pelajar lelaki menjadi mat rempit.

"Itu saya kata tidak rajin. Bila pergi universiti pula, tidak belajar betul-betul. Tidak baca buku, baca setakat disuruh sahaja," kata beliau.

Dalam kenyataan itu juga, NGO itu turut berharap supaya kaum lain "tidak melatah" dengan teguran tokoh itu kepada bangsa Melayu "kerana mungkin tidak faham apa yang beliau maksudnya.

"Perkasa Selangor menganggap apa juga hujah Tun Dr Mahathir Mohamad adalah sebagai nasihat seorang bapa kepada anak," kata NGO itu.

Lihat Komen
ADS