Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Akhbar PKR papar krisis istana dirampas
Diterbitkan:  Sep 15, 2014 1:00 PM
Dikemaskini: 7:31 AM

Lebih 300 naskah akhbar rasmi PKR Suara Keadilan keluaran minggu lepas dilapor dirampas Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kedah baru-baru ini.

Menurut KeadilanDaily , versi atas taliannya, rampasan berlangsung di sekitar Alor Setar, Kuala Kedah, Jitra, Pendang dan Kepala Batas.

Akhbar keluaran 189 itu antaranya mengetengahkan isu sekitar krisis menteri besar Selangor dengan laporan muka depan berjudul “Kekal satu nama, tidak berubah ”.

Ia dihias dengan gambar Presiden PKR Datuk Seri Azizah Ismail, yang juga calon batu menteri besar, merafak sembah sultan Selangor.

Muka depan Suara Keadilan juga memaparkan tajuk kecil berbunyi "Akta Hasutan: Muhyiddin Sahkan Najib Berbohong".

Malah rampasan turut dilakukan terhadap naskhah Suara Keadilan bilangan 188 di sekitar Kepala Batas dan Jitra.

KeadilanDaily turut melaporkan reaksi wakil rakyat setempat dan pemimpin akar umbinya yang tidak senang serta mengutuk rampasan itu.

“Tindakan mereka merampas akhbar ini membuktikan ketakutan yang ketara apabila rakyat dapat mengetahui kedudukan sebenar pembohongan yang menjadi amalan kerajaan kini,” anggota parlimen Kuala Kedah Dr Syed Azman Ismail dipetik sebagai berkata.

KDN: Tiada permit

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran KDN Hashimah Nik Jaafar berkata, akhbar itu dirampas kerana tidak mempunyai permit.

Beliau juga menafikan rampasan itu dibuat kerajaan kerajaan “takut” dengan perkembangan semasa dalam negara.

“Tidak, bukan sebab itu. Akhbar ini dirampas berterusan sejak tahun lalu kerana tidak mempunyai permit,” katanya kepada Malaysiakini .

Suara Keadilan beroperasi tanpa permit selepas Kementerian Dalam Negeri enggan menyambung lesen penerbitannya tahun lepas.

Akhbar itu antaranya pada 2010 didakwa menyiarkan dokumen yang dilindungi bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

Lihat Komen
ADS