Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
4 direman bantu siasatan soalan UPSR bocor
Diterbitkan:  Sep 15, 2014 2:00 PM
Dikemaskini: 6:14 AM

Polis hari ini memperoleh perintah mahkamah untuk menahan reman empat lelaki termasuk seorang guru besar dan dua guru bagi  membantu siasatan berhubung kebocoran soalan kertas peperiksaan Sains dan Bahasa Inggeris Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

    

Majistret Nur Dahlia Azmi mengeluarkan perintah reman itu bermula hari ini hingga Khamis ini terhadap lelaki berkenaan berumur antara 30 dan 50 tahun untuk siasatan mengikut Seksyen 8 (1) Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

    

Guru besar dan guru berkenaan daripada dua buah sekolah di Pulau Pinang manakala seorang lagi lelaki ialah ejen insurans.

    

Seksyen 8 (1) OSA menetapkan jika seseorang yang ada dalam miliknya atau kawalannya sesuatu rahsia rasmi atau sesuatu perkataan kod, isyarat timbal atau kata laluan rasmi yang rahsia dan berhubungan dengan atau digunakan dengan apa-apa jua di sesuatu tempat, boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan maksimum tujuh tahun.

    

Keempat-empat lelaki itu diwakili peguam Ester Tan Siew Choo yang berkata polis memohon perintah reman bagi tujuh hari tetapi majistret memberikan empat hari.

    

Berikutan kebocoran soalan kertas Sains 018, 028 dan 038 dan kertas Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 itu, hampir setengah juta calon UPSR perlu menduduki semula kedua-dua kertas itu pada 30 Sept.

    

Keadaan itu telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan murid terbabit dan ibu bapa mereka.

    

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga menteri pendidikan mengumumkan Jumaat lepas bahawa Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia Dr Na'imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi badan itu Dr Wan Ilias Wan Salleh digantung tugas berkuatkuasa serta-merta sementara menunggu siasatan kebocoran itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS