Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muhyiddin: K'jaan kaji wujud '30 Per cent Club'
Diterbitkan:  Sep 15, 2014 2:39 PM
Dikemaskini: 6:44 AM

Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan mewujudkan inisiatif dikenali sebagai '30 Per cent Club' ke arah meningkatkan bilangan wanita di peringkat pembuat keputusan.

    

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata inisiatif sama yang dilaksanakan di beberapa negara antaranya United Kingdom itu dilihat berjaya menonjolkan wanita berkebolehan bagi mengisi jawatan tinggi di sesebuah organisasi.

    

"Dalam hal ini saya difahamkan pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Pemandu (Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan) sedang meneliti kemungkinan bagi Malaysia mempunyai kelabnya sendiri melalui mekanisme dan acuan kita sendiri," katanya.

    

Beliau berucap merasmikan Sidang Kemuncak Wanita 2014 anjuran KPWKM di ibunegara hari ini.

    

Turut hadir isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan timbalannya Datuk Azizah Mohd Dun.

     

Muhyiddin berkata kerajaan menaruh harapan besar terhadap sektor swasta untuk melonjakkan kepimpinan wanita bagi mencapai kepelbagaian dan kesaksamaan gender.

    

"Dalam hal ini, kerajaan pada 2011 telah mengumumkan dasar sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan dalam sektor korporat," katanya.

    

Beliau turut menarik perhatian bahawa berdasarkan Laporan Penyiasatan Tenaga Buruh, Jabatan Perangkaan Malaysia 2013, 78.6 peratus daripada keseluruhan jumlah wanita yang bekerja adalah pekerja dalam sektor swasta.

    

Untuk itu, katanya, kerajaan telah menggubal dasar serta menyediakan insentif untuk sektor swasta bagi meningkatkan guna tenaga wanita dan memastikan golongan itu terus kekal dalam pekerjaan serta berupaya mengisi jawatan-jawatan tinggi.

    

Timbalan perdana menteri menjelaskan dalam sektor awam juga terdapat kumpulan dan bilangan pemimpin wanita yang mampu membawa perubahan kepada cabaran bagi kesaksamaan gender.

    

Muhyiddin berkata bilangan wanita yang memegang jawatan tinggi dalam sektor awam dijangka terus meningkat menerusi usaha Jabatan Perkhidmatan Awam yang melaksanakan laluan peningkatan kerjaya secara 'fast track' bagi pegawai kumpulan pengurusan dan profesional berpotensi tinggi.

    

Beliau berkata pada 2013, 205,557 atau 62 peratus daripada jumlah pegawai awam di peringkat pengurusan dan profesional adalah wanita.

    

Justeru, beliau berharap semua pemimpin wanita yang memegang jawatan tinggi dalam sektor awam supaya terus menjadi teladan dan pencetus inspirasi kepada pegawai awam wanita yang lain untuk meningkatkan kebolehan dan pencapaian bagi melayakkan diri memasuki 'fast track'.

    

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata kerajaan juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menyediakan peluang keusahawanan kepada wanita antaranya dengan menyediakan skim pinjaman mudah bagi usahawan wanita yang menceburi perusahaan kecil dan sederhana.

    

Mengenai Sidang Kemuncak Wanita bertema 'Trailblaze to the top', Timbalan Perdana Menteri berkata ia menekankan kepada sifat kepimpinan seseorang dalam membangunkan individu lain untuk menempa kejayaan.

    

"Ia bukan sahaja merujuk kepada kepimpinan dalam organisasi formal tetapi juga dalam pelbagai konteks kehidupan, dan faktor utama penentu kejayaan adalah setiap wanita perlu mempertingkatkan ilmu pengetahuan bersesuaian dengan peredaran masa," tambahnya.

    

Persidangan sehari itu menarik kira-kira 1,050 peserta yang antara lain mendengar pengalaman daripada penceramah tempatan dan antarabangsa mengenai kejayaan yang dicapai.

- Bernama

Lihat Komen
ADS