Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Suspek Ebola di Kuching masih diperhatikan
Diterbitkan:  Sep 15, 2014 4:00 PM
Dikemaskini: 11:18 AM

Pelajar Zimbabwe yang sedang menuntut di kampus sebuah universiti asing di Kuching yang diserang demam panas masih diletakkan bawah pemerhatian Hospital Umum Sarawak (SGH) di Kuching.

Menteri Muda Kesihatan Umum Sarawak Datuk Dr Jerip Susil hari ini mengesahkan perkara itu hari ini, lapor Bernama .

Agensi berita nasional juga dilapor menasihatkan orang ramai agar tidak panik dan menjelaskan belum ada pengesahan yang pelajar berusia 24 tahun itu dijangkiti Ebola.

"Pemeriksaan belum selesai dan doktor masih memantau keadaan beliau," Dr Jerip dipetik sebagai berkata dalam sidang akhbar di pejabatnya di Petrajaya.

Dr Jerip juga berkata, pelajar itu mengadakan kontak dengan seorang warga Nigeria yang tiba di Kuching baru-baru ini.

Bagaimanapun warga Nigeria itu berada dalam keadaan sihat dan tidak menunjukkan sebarang simptom Ebola.

Pihak berkuasa kesihatan negeri kini mengasingkan kedua-dua mereka di kampus buat sementara waktu bergantung pada pemeriksaan selanjutnya, kata Dr Jerip seperti dilaporkan Bernama.

Pelajar itu suspek kedua Malaysia bagi Ebola selepas kes di Perak minggu lepas, yang kemudian didapati negatif.

Dr Jerip juga berkata pihak berkuasa kesihatan melakukan pemeriksaan ekstensif terhadap semua mereka yang pulang ke Nigeria dan datang kembali ke Sarawak.

Memetik sumber, The Borneo Post sebelum ini melaporkan, pelajar disyaki dijangkiti virus itu dimasukkan ke sebuah hospital swasta pada Ahad selepas mengadu batuk-batuk dan demam panas.

“Oleh kerana pusat perubatan swasta itu tidak mempunyai wad pengasingan, mereka dipindahkan ke wad pengasingan Hospital Besar Sarawak,” menurut laporan itu.

Ebola sejenis demam berdarah, sering mengakibatkan maut kepada manusia dan kera.

Wabak itu meragut lebih 2,000 nyawa di Afrika Barat tahun ini.

Lihat Komen
ADS