Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kenaikan tarif air S'gor masa depan berpatutan'
Diterbitkan:  Sep 15, 2014 6:35 PM
Dikemaskini: 1:51 PM

Sebarang kenaikan tarif air pada masa hadapan di Selangor akan dilakukan pada kadar berpatutan, kata Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrhaim.

Katanya, ia akan dilakukan bawah kawal selia Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan hanya dengan persetujuan kerajaan negeri.

Dalam kenyataannya hari ini, Khalid berkata, penstrukturan semula industri air Selangor memberi banyak manfaat kepada rakyat.

Ini kerana, tambahnya, isu beban hutang dan bon industri air diselesaikan secara muktamad dan hanya satu syarikat – Air Selangor – mengendalikan rawatan dan pengagihan air demi perkhidmatan lebih cekap.

“Selain itu, dengan pengambilalihan ini tiada lagi situasi keuntungan berlapis bagi syarikat konsesi air di samping mengelakkan kenaikan tarif air sebanyak 82 peratus yang sepatutnya berlaku di antara 2009 dan 2015 seperti yang termaktub dalam Perjanjian Konsesi,” katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan Khalid sebagai berkata, perjanjian utama penstrukturan semula industri air yang akan didedah kepada umum, tertakluk kepada Enakmen Kebebasan Maklumat Negeri Selangor.

"Perjanjian Utama ini akan didedahkan kepada umum, tertakluk kepada Enakmen Kebebasan Maklumat Negeri Selangor dengan kerjasama Persekutuan," beliau dipetik sebagai berkata dalam kenyataan hari ini.

Jumaat lepas, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri memeterai perjanjian utama bagi memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air itu.

Dengan termeterainya perjanjian utama itu, Air Selangor Sdn Bhd (ASSB), sebuah entiti baharu, akan mengambil alih operasi dan penyelenggaraan loji rawatan air serta perkhidmatan pembekalan air yang sebelum ini dilakukan empat syarikat konsesi.

ASSB mengambil alih tiga syarikat konsesi air negeri Selangor iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS) dan pemegang lesen perkhidmatan iaitu Konsortium Air Selangor Sdn Bhd (KASB).

Khalid dilaporkan berkata perjanjian itu dimuktamad dengan kos pengambilalihan penstrukturan semula industri air jauh lebih rendah daripada tawaran awal yang dilakukan kerajaan negeri iaitu RM7.45 bilion berbanding RM9.65 bilion.

Lihat Komen
ADS