Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS WP pula larang ahlinya sertai PasMA
Diterbitkan:  Sep 16, 2014 12:39 PM
Dikemaskini: 4:43 AM

PAS Wilayah Persekutuan menyertai PAS Terengganu dengan tidak membenarkan ahlinya menyertai NGO Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa).

Setiausaha PAS Wilayah,  Khairul Anuar Abdul Manap mengeluarkan kenyataan "melarang keras" ahlinya menyertai, menubuhkan, menghadiri sebarang program dan memberi kerjasama di dalam menjayakan mana-mana program PasMa dalam apa jua bentuk sekalipun.

"Sekiranya mana-mana ahli terlibat di dalam sebarang bentuk aktiviti di atas, mereka yang terlibat akan dianggap sebagai pengkhianat kepada PAS," kata Khairul dalam kenyataan beliau semalam.

Kenyataan itu persis kenyataan PAS Terengganu Ahad lalu melarang ahli mereka meyertai atau bekerjasama dengan PasMa.

Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Nasrudin Hassan semalam mendakwa PasMa bertujuan menjatuhkan kepimpinan presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Seorang lagi AJK Pusat PAS Nik Abduh Nik Aziz berkata ahli PAS dapat "membaca tujuan sebenar PasMa" ditubuhkan berdasarkan beberapa forum dan perjumpaan parti itu di seluruh negara.

Beliau turut tidak menghalang PAS negeri mengeluarkan arahan menghalang ahli mereka dari menyertai NGO itu kerana membuat kritikan keras terhadap Hadi.

Pengerusi PasMa Datuk Phahrolrazi Mat Zawawi walaupun mengakui beberapa ahli NGO itu mengkritik dan mahu menjatuhkan Hadi, menegaskan kepada Malaysiakini, bahawa ia bukanlah pendirian dan tujuan NGO tersebut ditubuhkan.

Phahrolrazi juga berkata, tidak timbul soal tuduhan "menjatuhkan Hadi"  itu kerana naik turun seseorang pemimpin ditentukan oleh perwakilan parti dalam persidangan tahunannya.

Sementara itu, ditanya sama ada PasMa menerima kritikan pada Hadi, beliau berkata, mereka hanya menyediakan wacana sahaja dan menegaskan ia pandangan penyokong Pakatan dalam berdepan kemelut sedia ada.

Hadi dikritik kerana beberapa keputusan kontroversi dalam krisis menteri besar Selangor yang berlarutan sejak Januari tahun ini kerana tidak bersetuju presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Lihat Komen
ADS