Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Akta Hasutan 'hantui' perbincangan masa depan negara

Para peserta satu perbincangan untuk menentukan hala tuju masa depan Malaysia telah meminta agar prosiding itu tidak dilaporkan, walaupun petugas media hadir.

Bekas timbalan menteri, Datuk Saifuddin Abdullah menjelaskan ia berkaitan dengan Akta Hasutan, yang telah digunakan terhadap individu, termasuk ahli politik pembangkang, aktivis dan ahli akademik, sejak beberapa bulan lepas.

Katanya, adalah malang kita tinggal di negara di mana masih ada Akta Hasutan, dan kadang-kadang orang cenderung untuk menyalahtafsirkannya.

Saifuddin berkata, beliau tahu wartawan akan melaporkan berdasarkan apa yang mereka dengar dan apa yang mereka lihat.

Namun, katanya, pembaca mungkin tidak memahaminya, dan kemudian tiba-tiba ada orang mendapat masalah atas apa yang mereka kata walaupun dengan niat yang baik.

Kerana itu, katanya, ada sesetengah orang yang tidak selesa, maka mereka meminta agar apa yang dikatakan di dalam perbincangan tersebut, tidak dilaporkan.

Saifuddin juga mendedahkan bahawa beberapa isu-isu yang biasanya dianggap "sensitif" atau "taboo" kepada beberapa pihak dalam masyarakat, telah dibangkitkan semasa perbincangan tersebut.

Menurutnya, mereka membangkitkan perkara secara santai, tetapi masih sopan dan orang boleh menerimanya.

Perbincangan tersebut adalah yang pertama dalam siri perbincangan yang diterajui oleh Yayasan Gerakan Sederhana Globa (GMM) dan Akedemi Belia.

Saifuddin berkata matlamatnya adalah untuk menghasilkan satu dokumen yang akan dikenali sebagai "dokumen rakyat atau pendapat rakyat" mengenai halatuju masa depan Malaysia, yang sepatutnya menjadi panduan untuk negara.

"Kami berhasrat untuk menyerahkan dokumen ini kepada kerajaan," kata bekas timbalan menteri pengajian tinggi itu yang menjadi pemudahcara perbincangan itu di pejabat GMM di Kuala Lumpur.

Saifuddin merupakan ketua pegawai eksekutif GMM dan pengerusi Akedemi Belia. Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak merupakan pengasas dan penaung GMM.

Beliau memberitahu pemberita bahawa 30 NGO mengambil bahagian dalam perbincangan itu, manakala yang lainnya, seperti Majlis Aids Malaysia tidak hadir tetapi mengemukakan cadangan untuk dibentangkan.

Selain siri perbincangan di seluruh negara, Saifuddin berkata, kumpulan juga akan mengumpul maklum balas awam dalam talian, laman Facebooknya "Masa Depan Malaysia - Future of Malaysia", dan Twitter hashtag #MasaDepanMalaysia.

Saifuddin berkata beliau berhasrat untuk menyiapkan siri perbincangan itu pada akhir tahun ini dan mengemukakan dokumen itu pada awal tahun depan, tetapi ia boleh ditangguhkan jika peserta meminta lebih banyak masa.

Menjawab satu soalan, Saifuddin berkata langkah itu bukan bertujuan untuk menggantikan Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada keseluruhannya, kata beliau, rakyat Malaysia percaya dengan Wawasan 2020 dan bekerja keras untuk mencapainya, begitu juga dengan semua perdana menteri selepas Dr Mahathir yang berpegang teguh kepadanya dan berusaha untuk mencapainya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS