Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Haron Din meminta agar para pemimpin Majlis Syura tidak mudah melatah apabila diserang melalui Internet oleh “individu yang tidak memahami perjuangan PAS”.

Tanpa menamakan pihak terlibat, Haron berkata golongan itu mempertikai dan mengecam keputusan Majlis Syura yang dibuat secara sebulat suara.

"Ulama dalam Majlis Syura tidak mudah melatah dan membuat serangan balas. Tidak itu bukan cara ulama.

"Ulama berlapang dada dan tidak terkeluar daripada prinsip 'agama itu nasihat," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Muktamar Dewan Ulama PAS di Kulaijaya, Johor.

Dengan nada kesal, Haron Din turut menyuarakan bahawa kepimpinan ulama dalam PAS diserang bertubi-tubi dan masalah dalaman PAS turut diketahui oleh pelbagai pihak.

"Ia sudah tidak menjadi rahsia. Mereka diserang bertubi-tubi, secara terbuka dan terdedah. Media maya yang mengguna ruang itu untuk menyerang.

'Penjual cendol pun tahu...'

"Ia terdedah kepada umum penjual kacang putih tahu PAS ada masalah, Penjual cendol pun tahu. Majlis Syura PAS dipertikai dan diserang," katanya.

Tokoh agama itu juga membangkitkan isu ketaatan kepada pemimpin dalam sesuatu keputusan yang dibuat selagi mereka tidak menyuruh anggota PAS melakukan maksiat.

"Kepatuhan kepada pemimpin adalah perkara asas dalam (mengelakkan) konflik. Sebab apa (krisis dalaman) yang berlaku sekarang adalah (berpunca) masalah ketaatan kepada pemimpin yang terus dipertikaikan," katanya.

Menganggap satu krisis sebagai asam garam berjamaah, beliau menggesa PAS menyediakan prasarana untuk menyiapkan "pengendali, pejuang dan pembantu" demi menjayakan perjuangan Islam.

"Kalau dalam perjuang Islam, maka mestilah mengetahui sungguh-sunggh bahwa siapa ketuanya, siapa penolongnya. Kita mengambil contoh menjadi imam dalam solat jamaah.

"Dalam solatpun ada kaedah siapa patut jadi imam, maka dalam perjuangan (Islam juga memlih) siapa yang patut jadi ketua dan (siapa yang) mempertahankannya.

"Dan siapa yang patut menjadi ketua kerajaan, siapa patut jadi MB. Menyedari hal ini, kita perlu mengutamakan yang lebih baik daripada yang baik," katanya.

Dalam ucapannya juga, Haron turut membaca dua potong ayat Al-Quran yang menggesa umat Islam supaya mengadakan syura dan bertawakal kepada Allah jika berazam untuk melaksanakan sesuatu perkara.

Beliau turut memberi contoh bagaimana Rasulullah SAW mempertahankan amalan syura khususnya dalam peperangan Uhud dan Peristiwa Perjanjian Hudaibiyah di mana ada kalanya baginda bertindak sendirian demi kepentingan Islam.

"(Jadi) ada kadang-kadang pemimpin (PAS) membuat keputusan seorang diri dan tidak ada maksiat dan kemudiannya bertawakal kepada Allah.

"Atas perkara inilah, ia perlu menjadi satu bahan untuk kita berfikir dan bertindak," katanya yang juga pengasas perubatan Islam Darul Syifa.

[Berita penuh menyusul]

Lihat Komen
ADS