Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Calon Bebas DUN Pengkalan Kubor Izat Bukhary Ismail Bukhary menegaskan bahawa beliau tidak ditaja oleh mana-mana pihak untuk bertanding pada pilihan raya kecil kali ini.

Izat, 47, juga memberitahu beliau menggunakan dananya sendiri untuk bertanding sebagai calon sejak pilihan raya umum yang lalu.

"Saya nak tangkis tanggapan (ramai pihak). Calon Bebas tak diwakili oleh mana-mana. Bukan senang untuk tampil sekali lagi (selepas PRU13).

"Saya guna dana sendiri. Tak ditaja sesiapa. Saya ikhlas, tak dapat tajaan mana-mana pun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas berkempen di sebuah warung kopi di Pengkalan Kubor.

Ketika berkempen, Izat turut ditemani isterinya Nor Azian Mohd Hanafiah.

Selain itu, ketika ditanya apakah pendekatan yang akan digunakan bagi menarik pengundi, Izat yang juga merupakan seorang bekas pensyarah berkata, beliau akan turun padang dan berjumpa dengan penduduk Pengkalan Kubor secara individu.

Walaupun ia dilihat memerlukan masa yang banyak, namun beliau senang dengan cara tersebut.

"Saya suka jumpa individu. Rumah ke rumah setakat yang ada. Tak mampu pergi jauh.

"Saya tak buat ceramah sebab lebih suka jumpa individu," katanya lagi.

Malah, Izat yang mempunyai tujuh orang anak itu turut memberitahu, antara kempennya juga ialah beliau bercadang untuk membuat pertandingan mereka cipta pen yang paling besar dan kreatif.

Katanya, pertandingan yang melibatkan setiap kampung di kawasan Pengkalan Kubor itu juga akan turut menyediakan hadiah kepada pemenang.

Menurut Izat lagi, pen menjadi salah satu tema kempen memandang ia merupakan logo yang digunakannya sebagai calon Bebas.

"Saya nak anjurkan pertandingan mencipta pen yang paling besar dan kreatif. Ia akan melibatkan kampung-kampung di sini," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS