Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
UPP mahu tubuh 24 cawangan di S'wak
Diterbitkan:  Sep 18, 2014 5:42 PM
Dikemaskini: 9:47 AM

Parti Rakyat Bersatu (UPP), parti yang baru ditubuhkan di Sarawak dan mesra BN hari ini menyatakan ia berharap untuk menubuhkan 24 cawangan di negeri ini dalam tiga bulan.

Presiden penajanya, Datuk Seri Wong Soon Koh, berkata parti itu akan menulis kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) bagi kelulusan untuk menubuhkan cawangan berkenaan.

Beliau sebelum itu menyampaikan dokumen RoS kepada wakil parti bagi penubuhan empat cawangan iaitu Bawang Assan, Bukit Assek, Pelawan dan Dudong, serta di Sarikei dan Kanowit.

Parti juga akan menulis kepada RoS untuk membolehkannya menubuhkan cawangan di Sri Aman, katanya kepada pemberita di Sibu.

Wong, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat negeri merupakan bekas penolong setiausaha agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) tetapi keluar daripada parti itu pada Mei tahun ini ekoran krisis kepimpinan.

Katanya beliau menjangkakan kira-kira 15,000 orang, termasuk 6,000 Bumiputera untuk menyertai empat cawangan di Sibu.

"Kami mengalu-alukan bekas anggota SUPP dari seluruh negeri yang berkongsi dan yakin dengan perjuangan dan ideologi politik kami," katanya dan menurutnya UPP turut berharap untuk menarik penyertaan profesional muda.

Wong, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bawang Assan, berkata UPP "akan menjadi parti pelbagai kaum yang amat fokus dan pemimpinnya akan senantiasa turun padang untuk berkhidmat kepada rakyat dengan lebih efisien dan kompeten".  

"Di cawangan-cawangan yang kami akan mempunyai ramai anggota Bumiputera, kami akan tubuhkan pejabat berasingan untuk mereka kerana isu-isu rumah panjang dan kawasan luar bandar adalah berbeza daripada di bandar dan bandar raya," katanya.

Beliau juga berkata persidangan perwakilan tiga tahun sekali pertama parti dijadual berlangsung di Kuching pada akhir November.

Ditanya sama ada parti akan berbaik semula dengan SUPP, Wong berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada pemimpin BN negeri dan persekutuan.

"Lagipun kami semua dilayan sebagai sebahagian keluarga BN dan kami telah diundang ke beberapa perayaan utama negeri setakat ini," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS