Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penganggur didakwa rogol kenalan facebook
Diterbitkan:  Sep 18, 2014 7:00 PM
Dikemaskini: 11:10 AM

Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tiga pertuduhan iaitu merogol, melakukan seks luar tabii dan merompak wanita yang dikenalinya melalui facebook.

    

Mohamad Faiz Apandi, 28, dituduh merogol mangsa yang berusia 21 tahun itu di sebuah jalan di Brickfields pada 8 malam 23 Ogos lepas dan didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

    

Tertuduh yang tidak diwakili peguam turut dituduh melakukan seks luar tabii terhadap mangsa di tempat, waktu dan tarikh sama dan didakwa di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

    

Mohamad Faiz juga dituduh merompak telefon bimbit dan wang tunai RM200 milik wanita itu dengan bersenjatakan pisau di tempat, tarikh dan waktu yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama  yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan.

    

Hakim Azwarnida Affandi tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 2 Oktober ini untuk sebutan semula bagi Mohamad Faiz melantik peguam.

    

Sebelum itu di Mahkamah Sesyen berlainan, Mohd Faiz menghadapi tiga lagi pertuduhan iaitu melakukan rompakan bersenjata, mencuri kereta dan satu pertuduhan pilihan memiliki harta curi iaitu sebuah kereta.

    

Dia dituduh merompak beg tangan Siti Hajar Mustafa, 23, bersenjatakan sebilah pisau, di Lorong Sentul Jaya, pada 4 pagi, 7 Ogos lepas dan didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang boleh dihukum sehingga 14 tahun dan sebatan.

    

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mencuri kereta Perodua Myvi milik Hamidah Yon di tempat letak kereta hadapan kedai Benneli Showroom, Jalan Ipoh antara 4 pagi dan 6 pagi hari yang sama.

    

Sementara bagi pertuduhan pilihan, Mohamad Faiz didakwa memiliki harta curi iaitu kereta yang sama ketika berada di tepi jalan, di hadapan Hotel YY318, Jalan Pudu, pada jam 6.15 pagi 29 Ogos lalu.

    

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    

Hakim Azman Ahmad turut tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 7 Oktober sebutan semula.

    

Kesemua kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Ahmad dan  S. Nithia.

    

- Bernama

Lihat Komen
ADS