Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mangsa samun serik bantu orang kemalangan
Diterbitkan:  Sep 19, 2014 7:13 AM
Dikemaskini: Sep 19, 2014 3:45 AM

Pemandu van kilang yang kenderaannya disamun empat lelaki ketika dia cuba membantu mereka terlibat dalam kemalangan di Lahar Minyak, di Kepala Batas semalam, serik untuk menolong mangsa kemalangan jalan raya.

    

Mohd Izhar Aziz, 38, yang menjadi mangsa samun empat lelaki dalam kejadian pukul 8.30 pagi semalam berkata beliau dalam perjalanan pulang ke rumahnya yang terletak kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian dan terkejut apabila melihat sebuah kereta Kelisa berwarna kelabu terbalik dalam parit.

    

"Saya melihat dua lelaki melambai-lambai tangan dan seorang daripadanya meminta tolong serta memberitahu bahunya patah. Seorang lagi pula merangkak keluar dari kereta berkenaan dan apabila cuba berdiri, dia terjatuh dan berdasarkan pemerhatian saya, kemungkinan kakinya patah manakala dua lagi rakan mereka tidak mengalami kecederaan.

    

"Saya dan beberapa pengguna jalan raya di tempat kejadian cuba memberi bantuan kepada mereka," katanya ketika dihubungi malam tadi.

Mohd Izhar berkata beliau kemudiannya menyuruh empat lelaki berkenaan masuk dan berehat di dalam vannya sebelum beliau pergi semula ke arah kereta mereka yang terbalik dalam parit, terletak kira-kira 10 meter dari situ.

"Tiba-tiba saya dengar bunyi enjin kenderaan dan nampak seorang daripadanya memandu van dan memecut laju, tidak sempat untuk saya berbuat apa-apa," katanya.

    

Berikutan kejadian itu, Mohd Izhar berkata beliau kerugian RM3,700 dan sebuah telefon bimbit yang diletakkan dalam van itu.

"Saya baru sahaja membuat pinjaman dengan majikan dan duit RM3,000 itu ingin digunakan untuk perbelanjaan sekolah tiga orang anak saya dan tidak sangka jadi begini," katanya yang bekerja dengan sebuah syarikat swasta di Seberang Jaya.

    

Beliau juga tidak menyangka mangsa kemalangan berkenaan merupakan penjenayah kerana sebelum kejadian itu, mereka telah menyamun seorang wanita.

    

Terdahulu, keempat-empat suspek berkenaan telah menyamun seorang wanita di hadapan rumahnya di Bandar Putra Bertam, di Kepala Batas dan melarikan beg berisi pakaian, wang tunai dan cermin mata.

- Bernama

Lihat Komen
ADS