Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perwakilan Perlis Wan Kharizal Wan Khazim menggesa muktamar kali ini membuat ketetapan supaya PAS menolak jawatan menteri besar Selangor sekiranya ia diberikan kepada PAS.

Katanya, gesaan itu sebagai menunjukkan PAS sebuah parti yang berpegang pada janji dan mempunyai nilai integriti di mana sebelum ini parti telah memutuskan kerusi itu diberikan PKR.

"Atas nilai moral integriti , saya menggesa muktamar kali ini membuat ketetapan apabila berlaku jawatan itu diberikan kepada PAS, maka kita berpegang seperti yang diputuskan pada 17 Ogos lalu.

"Maka kita perlu menolak jawatan itu untuk membuktikan kita berpegang kepada nilai integriti," kata Wan Kharizal ( kiri ) ketika membahaskan ucapan dasar presiden bertajuk "Terus beristiqamah".

Dilaporkan majlis mengangkat menteri besar baru Selangor akan diadakan pada jam 10 pagi Selasa depan di Istana Alam Shah, Klang berdasarkan jemputan dilapor sudah dihantar kepada pemimpin-pemimpin negeri, wakil rakyat dan orang-orang kenamaan.

Petunjuk menunjukkan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali bakal dilantik menjadi menteri besar menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Segan ke kedai kopi

Sementara itu, dalam perbahasannya juga, Wan Kharizal bersetuju dengan perwakilan Selangor Sallehen Mukhyi ( bawah ) semalam bahawa berlaku kecelaruan di kalangan ahli apabila pimpinan pusat tidak membawa mesej tepat ketika menjelaskan kemelut di Selangor.

"Orang kita sudah segan untuk pergi ke kedai kopi. Sebelum ini orang kita juara di kedai kopi bercerita tentang kebobrokan Umno, tapi dalam isu Selangor, mereka segan kerana tiada jawapan.

"Apabila keputusan dibuat 17 Ogos, mereka kembali mereka senyum dan merasakan sudah ada jawapan dalam perkara yang dibangkitkan dan lepas tu tidak kembali (ke kedai kopi) kerana masih ada kekeliruan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kepimpinan pusat tidak meneruskan tindakan seperti itu sebaliknya perlu mencapai kesepakatan dalam membuat keputusan sebelum dimaklumkan kepada semua pihak.

Sementara itu, Perwakilan Negeri Sembilan Mohd Khairul Anwar Wafa bersetuju dengan cadangan Wan Kharizal supaya muktamar membuat usul tergempar menolak jawatan menteri besar sebagai menghormati semangat setiakawan dalam Pakatan.

"Ini presiden dah cakap berulang-ulang. Tapi ada kuasa muktamar menegaskan sekali lagi, ia menunjukkan kebersamaan kepada presiden. Tetapi kalau sultan lepas ini nak kepada kita, apa kita nak buat," katanya dalam loghat Negeri Sembilan.

"Sekurangnya kita sudah menjawab kepada rakan dalam Pakatan, bahawa seluruh anggota telah bersama presiden untuk kekal bersama Pakatan.

"Tetapi apa yang berlaku adalah kehendak Sultan. Jadi terlepaslah kita," katanya yang kemudiannya diiringi gelak ketawa perwakilan.

Lihat Komen
ADS