Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Aktivis sosial, Ong Boon Keong berkata demokrasi di Malaysia sedang sakit kerana masih ada orang asal di Borneo tidak mempunyai kerakyatan dan tidak dapat mengundi.

Beliau memberi kenyataan itu di sesi dialog “Imaginasi Demokrasi’ di ibu negara semalam.

“Isu demokrasi di Malaysia seperti sudah sakit, sebab kalau sihat kita tidak duduk di sini untuk berdialog tentang masalah ini,” tegasnya.

Dialog itu untuk memperjuangkan hak mereka dari segi hak kerakyatan seperti dokumen pengenalan diri, ekonomi dan pendidikan.

“Pada tahun 2009 semasa saya dilantik menjadi pemerhati pilihan raya, ada beberapa kampung di pedalaman Borneo yang penduduknya tidak ada kewarganegaraan.

“Apabila kami (pemerhati pilihan raya) bertanya kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tentang mereka yang masih tidak mempunyai kewarganegaraan, jawapan yang diberikan berubah-ubah.

"Pada mulanya mereka menyatakan seramai 30,000 orang, kemudian 60,000 orang pula,” dakwanya.

Mahu ganti 'yang lain-lain'

Perbincangan itu turut dihadiri pengerusi NGO hak orang asal Formadat Sabah, Pangiran Selutan menggesa kerajaan membantu masyarakat di sana supaya berkembang maju sama seperti di semenanjung.

Pangiran yang juga wakil orang asal daripada kaum Lun Dayeh menjelaskan keadaan kehidupan mereka di Long Pasia serba naif serta kekurangan dari segi pendidikan dan ekonomi.

“Kami mahu kerajaan memberi dokumen pengenalan diri (kad pengenalan) kepada setiap penduduk asal supaya kami dapat menikmati hak yang sama seperti rakyat Malaysia yang lain,” kata Pangiran.

Selain itu, mereka juga mahu status bangsa “yang lain-lain” diganti dengan “bangsa Malaysia” supaya mereka tidak berasa terasing kerana “yang lain-lain” sebenarnya mewakili lebih 30 etnik.

“Kami berharap supaya pihak berkenaan dapat melakukan sesuatu berhubung isu ini,” jelasnya.

Long Pasia terletak dalam daerah Sipitang, Sabah yang jumlah penduduknya seramai 600 orang. Kedudukannya di sempadan Sabah, Sarawak dan Kalimantan Timur.


NADIA OTHMAN wartawan pelatih di Malaysiakini .

Lihat Komen
ADS