Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Umat Islam di Malaysia harus bersyukur kerana berada dalam sebuah negara yang aman dan membolehkan mereka menunaikan ibadah dengan sempurna, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata di negara ini tiada sekatan untuk umat Islam yang pelbagai latar berlakang dan fahaman politik melaksanakan ibadah dan suasana ini tidak berlaku di negara-negara tertentu yang dilanda pergolakkan.

"Saya menyebut perkara ini kerana umat Islam di (beberapa) negara lain hadapi suasana kucar kacir, ada yang berlaku pertempuran, menghadapi masalah ekonomi, dilanda kemiskinan yang berleluasa," katanya ketika berucap pada majlis jamuan rakyat di perkarangan Masjid Mustaqim, Mukim Pak Keral, Pengkalan Kubor di Tumpat, hari ini.

Terdahulu itu Timbalan Perdana Menteri menunaikan solat Jumaat bersama-sama lebih 1,000 jemaah di masjid berkenaan.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) dalam rangka turun padang kali kedua membantu kempen BN sempena pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, 25 Sept ini.

Turut hadir Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail.

Beliau berkata keistimewaan yang dimiliki Malaysia itu kerana mempunyai sebuah kerajaan dan pemimpin yang bertanggungjawab untuk merancang dan melaksanakan pembangunan dengan berkesan.

Muhyiddin berkata kerajaan sudah memberi pembelaan dan kemajuan kepada rakyat secara berterusan sejak negara mencapai kemerdekaan 57 tahun lalu.

Sehubungan itu, katanya rakyat di DUN Pengkalan Kubor yang menghadapi pilihan raya kecil perlu mengutamakan perpaduan.

Pada majlis tersebut, beliau mengumumkan sumbangan sebanyak RM300,000 kepada masjid berkenaan bagi meningkatkan kemudahan masjid.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon bebas Izat Bukhari Ismail Bukhari.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang daripada BN Datuk Noor Zahidi Omar akibat kanser hati pada 20 Ogos lepas.

Pada pilihan raya umum ke-13 lepas, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan Izat Bukhary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS