Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskini PAS tetap akan membangkitkan isu royalti minyak dalam kempen pilihan raya kecil Pengkalan Kubor walau lawannya, BN kelihatan tidak berminat untuk mengetengahkan isu berkenaan.

Pemimpin jentera PAS, Mohamad Zaki Ibrahim berkata pihak PAS tidak mencapai apa-apa persefahaman dengan BN untuk tidak membangkitkan isu berkenaan dalam kempen pilihan raya ini.

"Kita akan sebut hal yang berkenaan dengan hak Kelantan. Walaupun BN telah mendiamkan diri dalam kempen tanpa mrnyebut isu royalti kami tetap akan membawa isu ini"

"Namun kita tidak akan sebut hal yang sedang dibincangkan di mahkamah," kata timbalan pengarah jentera PAS untuk pilihan raya kecil itu.

“Kita tak ada persefahaman dengan BN tetapi segala tohmahan kita akan jawab dalam ceramah oleh (MP PAS, Datuk) Takiyuddin (Hassan) pada 22 haribulan,” katanya yang juga ADUN Kelaboran.

ADUN Kelaboran itu yang ditemui selepas sidang media harian PAS di markas besar jentera parti itu di Pengkalan Kubor pagi ini.

Kempen poskad, rumah ke rumah

Sementara itu, pemimpin NGO ROYALTI (R), Khairul Nizam Abd Ghani ketika ditemui Malaysiakini juga mengesahkan bahawa isu berkenaan akan digembleng dalam kempen kali ini.

"Pihak kami akan mengedarkan 15,000 keping poskad kepada pengundi di Pengkalan Kubor yang beralamat kepada Pejabat Perdana Menteri"

"Poskad ini adalah salah satu cara kami menuntut royalti dari kerajaan", katanya.

Beliau yang ditemui di markas PAS tersebut yang menambah, pengundi akan menghantar poskad tersebut kepada perdana menteri.

Tambahnya, R juga akan membuat kunjungan rumah ke rumah bagi memberi kesedaran mengenai tuntutan ke atas hasil berkenaan.

Isu mengenai royalti minyak itu hanya dikesan muncul di peringkat awal kempen, selepas penamaan calon pada 13 September lalu.

Perkara itu diperhatikan berlegar di pentas ceramah PAS dan BN di Pengkalan Kubor namun tidak lagi kedengaran selepas Takiyuddin memberi peringatan pada keesokan harinya agar BN tidak lagi membangkitkan perkara itu.

Pengumuman wang ehsan

Beliau memberi amaran bahawa kerajaan negeri akan membuat aduan kepada mahkamah jika BN membangkitkan mengenai perkara khusus dalam kes tuntutan bayaran royalti itu.

Peringatan itu timbul selepas pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan mengenai persetujuan di antara Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) berhubung agihan wang ehsan untuk negeri itu.

Menurut Mustapa, agihan itu akan dimulakan pada Januari tahun depan dan sudahpun dibincangkan di peringkat Kementerian Kewangan dan dimaklumkan pada Kabinet.

Kes yang dikemukakan oleh kerajaan negeri Kelantan ke atas Petronas pada 2010 berhubung dakwaan pelanggaran perjanjian mengenai bayaran hasil tersebut kini sedang menunggu masa untuk dibicarakan.

Perjanjian Petroleum Kelantan yang ditandatangani pada 9 Mei 1975 itu menetapkan Petronas membayar sebanyak lima peratus bagi segala hasil minyak sama ada di pantai ataupun di luar pantai negeri berkenaan secara tunai.

Kes tersebut difailkan susulan pembongkaran mengenai operasi pelantar minyak yang diusahakan di antara Petronas dan kerajaan Thailand di Zon Ekonomi Eksklusif Kelantan, berdekatan dengan daratan Kelantan.

Lihat Komen
ADS