Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, BN akan tetap menjawab mengenai isu tuntutan royalti minyak Kelantan sekiranya ia dibangkitkan dalam kempen pilihan raya kecil DUN Pengkalan Kubor.

Katanya, PAS sendiri sebelum ini meminta agar isu tersebut tidak dibangkitkan kerana masih berlarutan di mahkamah.

"Dari sudut kerajaan BN kita tak boleh berdiam diri. (NGO) R ini ke mana-mana akan membawa berita yang palsu atau fitnah.

“Jadi kalau kita berdiam diri dalam situasi kempen, maka kita tak bertanggungjawab. Kita harus beri respon pada perkara itu," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita dalam satu sidang media selepas pertemuan dengan para guru di Maktab Rendah Sains MARA Tumpat.

Muhyiddin diminta mengulas mengenai rancangan PAS untuk terus membangkitkan isu tersebut dalam kempen yang berbaki lima hari.

Persefahaman

Katanya lagi, ia perlu diperjelaskan bagi memastikan pengundi mendapat maklumat betul.

Sebab itu kita tak boleh berdiam diri dan kena bertegas dalam soal itu (isu royalti).

"Dan penduduk Pengkalan Kubor saya harap dapat membuat keputusan berdasarkan pertimbangan yang bijaksana.

"Sebab itu wajar pemimpin pusat beri penjelasan atas isu berkaitan royalti," katanya lagi.

Spekulasi mengenai persefahaman antara BN dan PAS untuk tidak membangkitkan isu berkenaan timbul apabila kedua-dua parti dilihat tidak lagi menyebut mengenai tuntutan royalti dalam kegiatan kempen.

Isu mengenai royalti minyak itu hanya dikesan muncul di peringkat awal kempen, selepas penamaan calon pada 13 September lalu.

Perkara itu diperhatikan berlegar di pentas ceramah PAS dan BN di Pengkalan Kubor namun tidak lagi kedengaran selepas Takiyuddin memberi peringatan pada keesokan harinya agar BN tidak lagi membangkitkan perkara itu.

Pengumuman wang ehsan

Beliau memberi amaran bahawa kerajaan negeri akan membuat aduan kepada mahkamah jika BN membangkitkan mengenai perkara khusus dalam kes tuntutan bayaran royalti itu.

Peringatan itu timbul selepas pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan mengenai persetujuan di antara Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) berhubung agihan wang ehsan untuk negeri itu.

Menurut Mustapa, agihan itu akan dimulakan pada Januari tahun depan dan sudahpun dibincangkan di peringkat Kementerian Kewangan dan dimaklumkan pada Kabinet.

Kes yang dikemukakan oleh kerajaan negeri Kelantan ke atas Petronas pada 2010 berhubung dakwaan pelanggaran perjanjian mengenai bayaran hasil tersebut kini sedang menunggu masa untuk dibicarakan.

Perjanjian Petroleum Kelantan yang ditandatangani pada 9 Mei 1975 itu menetapkan Petronas membayar sebanyak lima peratus bagi segala hasil minyak sama ada di pantai ataupun di luar pantai negeri berkenaan secara tunai.

Kes tersebut difailkan susulan pembongkaran mengenai operasi pelantar minyak yang diusahakan di antara Petronas dan kerajaan Thailand di Zon Ekonomi Eksklusif Kelantan, berdekatan dengan daratan Kelantan.

Lihat Komen
ADS