Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Jawatankuasa bebas yang ditubuhkan untuk mengkaji prosedur operasi standard (SOP) peperiksaan awam berikutan kes kebocoran soalan kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini, akan mengadakan mesyuarat pertama Rabu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bebas Mengkaji Pengurusan Peperiksaan Awam, Tun Zaki Tun Azmi berkata mesyuarat itu akan diadakan di Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Beliau berkata jawatankuasa perlu memfokuskan kepada usaha mengkaji, meneliti dan menilai proses kerja dan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan peperiksaan itu termasuk cadangan penambahbaikan.

Katanya fokus tersebut penting untuk mengekalkan keyakinan rakyat terhadap integriti proses pelaksanaan peperiksaan awam yang dikendalikan Kementerian Pendidikan dan menurutnya isu mengenai fokus tersebut telah dibincangkan bersama-sama Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusof.

"Saya berpandangan bahawa perkara ini perlu disegerakan dan telah menetapkan mesyuarat pertama bagi jawatankuasa ini adalah pada 24 September di Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Berikutan kes kebocoran soalan kertas peperiksaan Sains dan Bahasa Inggeris UPSR 2014 baru-baru ini, kerajaan menetapkan 30 Sept sebagai tarikh baharu bagi peperiksaan semula kedua-dua mata pelajaran tersebut.

Pelantikan Zaki yang juga bekas Ketua Hakim Negara sebagai pengerusi jawatankuasa bebas itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu lepas.

Mengulas tentang pelantikan itu, Zaki melahirkan penghargaan terhadap Muhyiddin kerana melantiknya dan menyifatkan ia sebagai satu tugas serta amanah yang akan digalas sebaik mungkin.

Jawatankuasa itu turut mempunyai lapan anggota iaitu Presiden Institut Integriti Malaysia Datuk Dr Mohd Tap Salleh; bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Pembangunan Profesionalisme Keguruan) Datuk Dr Asariah Mior Shaharuddin; bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia Tan Sri Profesor Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Mohamed Sharil Mohamed Tarmizi.

Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan Malaysia Datuk Johari Jamaluddin; Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Dr Amirudin Abdul Wahab; bekas Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Tan Sri K. Kumaran dan Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Lok Yim Pheng.

- Bernama

Lihat Komen
ADS