Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib akan sampaikan ucapan di PBB
Diterbitkan:  Sep 20, 2014 4:34 PM
Dikemaskini: 8:43 AM

Menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merupakan acara kemuncak lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Amerika Syarikat bermula Sabtu (Ahad, di Malaysia).

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Najib dijadual menyampaikan pernyataan negara pada perbahasan umum Perhimpunan Agung PBB ke-68, di New York pada 26 Sept.

Perdana Menteri dijangka antara lain, berkongsi program transformasi ekonomi negara dan mendapatkan sokongan bagi pencalonan Malaysia untuk menduduki kerusi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB (UNSC), katanya semalam.

Di peringkat antarabangsa, beliau berkata Najib mungkin menyentuh mengenai kecaman Malaysia terhadap usaha untuk menukar pemimpin beberapa negara Islam yang dipilih secara sah, dengan cara yang menyalahi undang-undang serta mengenai tragedi pesawat Malaysia Airlines MH370 dan MH17.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dijadual tiba di bandar raya ini pada Sabtu malam (pagi Ahad di Malaysia).

Anifah memberitahu wartawan Malaysia bahawa Najib diundang oleh Akademi Sains New York sebagai seorang daripada penceramah utama pada majlis pelancaran antarabangsa Global STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) Alliance, di New York pada 22 Sept.

Global STEM Alliance direka untuk menghubungkan pelajar dari seluruh dunia melalui platform usaha sama digital dan pembelajaran rangkaian sosial.

Sempena majlis itu, yang diadakan di ibu pejabat PBB, Rosmah akan menerima Anugerah Hero STEM untuk menghargai sumbangan beliau dalam pembangunan pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia, katanya.

Hari berikutnya, Anifah berkata, Najib akan menyertai Persidangan Perubahan Iklim PBB 2014 di ibu pejabat PBB.

Perdana Menteri juga akan menyampaikan pernyataan untuk menggariskan usaha dan pandangan Malaysia memerangi perubahan iklim global sebelum bertolak ke Washington DC pada hari sama untuk menyampaikan ucaptama di Universiti Georgetown, katanya.

 

Anifah berkata Perdana Menteri akan menghadiri Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa Bioteknologi (Bio-IAP) pada 24 Sept di New York yang beliau dijangka menyampaikan ucapan pembukaan.

Najib kemudian dijangka mempengerusikan mesyuarat ke-4 Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) di Akademi Sains New York, katanya.

Menteri Luar berkata mesyuarat itu adalah selaras dengan agenda transformasi Perdana Menteri untuk meningkatkan keupayaan Malaysia dalam bidang sains dan inovasi, dan menyediakan hala tuju strategik bagi pembangunan industri bioteknologi di Malaysia.

Pada sebelah malam hari yang sama, Najib akan menganjurkan majlis makan malam bersama warga Malaysia di sini sebagai sebahagian program pendampingan sosial kerajaan dengan warga Malaysia yang tinggal, belajar dan bekerja di Amerika Syarikat (AS).

Pada 25 Sept, Najib dijadual bertemu pemimpin perniagaan di Sesi Meja Bulat Pelabur anjuran Bursa Malaysia di New York, dan beliau juga dijangka menganjurkan majlis makan tengah hari untuk eksekutif perniagaan kanan AS.

- Bernama

Lihat Komen
ADS