Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Menteri Besar baru Selangor Azmin Ali mengelak daripada menjawab sekiranya beliau tidak akan dikawal oleh mana-mana pihak sepertimana kebimbangan yang timbul berhubung calon PKR sebelum ini, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Azmin sekadar menegaskan bahawa tindakannya akan mengikut perlembagaan negeri.

"Saya dipandu oleh perlembagaan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor serta polisi yang telah diluluskan oleh Pakatan Rakyat yang perlu diimplementasikan," tegasnya.

Beliau bercakap dalam sidang media pertamanya selepas mengangkat sumpah di Istana Alam Shah, Klang hari ini.

Katanya lagi, drama mengenai jawatan menteri besar yang berlarutan sejak Februari lalu kini dianggap selesai dengan pelantikannya di jawatan tersebut.

"Baik kita teruskan dan bergerak ke hadapan dalam isu ini. Saya telah mengangkat sumpah (sebagai menteri besar).

“Jadi saya akan bekerja rapat dengan semua pihak agar apa yang dijanjikan kepada rakyat dapat ditunaikan," kata beliau.

Azmin turut berkata cabaran paling besar beliau adalah untuk memastikan Pakatan Rakyat dapat bersatu semula dalam pentadbiran beliau.

"(Bersatu) adalah cabaran paling besar yang kami harus hadapi sekarang.

"Saya mahu memastikan (Pakatan) dapat bersama dan semua pihak dapat menyertai pentadbiran negeri serta memperkuatkan keududukan Pakatan Rakyat di masa hadapan," katanya.

Kebimbangan mengenai calon menteri besar yang boleh dipengaruhi pihak tertentu secara "kawalan jauh" itu turut disuarakan istana Selangor.

Laporan yang timbul pada bulan lalu menyebut, kebimbangan itu merujuk kepada calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Lihat Komen
ADS