Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penduduk Pengkalan Kubor tidak asing lagi dengan sukan lasak Tomoi yang sudah menjadi sebahagian dari budaya masyarakat tersebut.

Tomoi atau tinju Siam yang asalnya daripada Thailand merupakan sukan bela diri yang terkenal di sempadan Kelantan, Kedah dan Terengganu.

Malaysiakini berkunjung ke pusat daerah mengundi (PDM) Geting, Pengkalan Kubor untuk melihat bagaimana BN menggunakan tomoi untuk meraih sokongan pemilih Siam di situ.

Dalam pilihan raya umum lalu, mereka ketinggalan 524 undi di belakang calon Pakatan Rakyat.

BN ketika itu mendapat 1,016 undi berbanding PKR dengan 1,540 undi dan bebas lapan undi.

Dalam pilihan raya kali ini, Geting mempunyai 3,355 pemilih.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim semalam menyampaikan sumbangan RM2,400 kepada kelab tomoi Pengkalan Kubor membeli alat latihan sukan dan memberi hadiah kepada pemain tomoi selepas acara tamat.

BN mengadakan persembahan tomoi yang dihadiri lebih kurang 200 penduduk setempat.

Acara penuh warna-warni itu dimulakan dengan tarian “pembuka” gelanggang diiringi dengan muzik klasik Thailand serta tepukan gemuruh dari penduduk setempat.

Seorang pemain tomoi tempatan Wan Muhammad Aminuddin mengakui menyertai acara itu sebagai tanda sokongannya terhadap BN yang bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

"Saya memberi sokongan kepada Pemuda BN kerana dengan sukan dapat memberikan tanda sokongan lebih-lebih lagi timbalan menteri belia dan sukan turun padang", katanya yang sudah 10 tahun menceburkan diri dalam sukan itu.

Siam sokong kuat BN

Beliau yang sudah beberapa kali menjuarai pertandingan itu hadir bersama abangnya Wan Abdul Wafi yang turut bergiat dalam bidang itu.

Tomoi amat dekat di hati penduduk tempatan apabila di Pengkalan Kubor sahaja, terdapat kira-kira 10 orang pemain tomoi yang bergiat aktif.

Bagaimanapun, bukan sahaja penduduk Siam setempat, sebahagian daripada pengunjung yang hadir daripada kalangan orang Melayu.

Ini sebahagian modus operandi BN untuk terus menawan hati pengundi Pengkalan Kubor di saat-saat akhir sebelum pilihan raya kecil Khamis ini.

Pendekatan BN itu berbeza dengan sekali dengan PAS yang hanya menggunakan pendekatan tradisi mereka melalui pendekatan ceramah berkelompok di kawasan itu.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor Datuk Noor Zahidi Omar daripada BN pada 20 Ogos lepas.

Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Mat Razi Mat Ail, Wan Rosdi Wan Ibrahim (PAS) dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Pada pilihan raya umum ke-13, llahyarham Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan Izat Bukhary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi.

Lihat Komen
ADS