Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pada pusingan pertama berkempen, PAS dan BN dilihat sama hebat bagi memenangi hati pengundi pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor.

Tempoh berkempen yang berbaki dua hari sahaja lagi dilihat makin meriah apabila bendera dan kain rentang parti masing-masing sudah membanjiri sepanjang jalan di Pengkalan Kubor.

Ketika tempoh seminggu terawal, kempen BN dilihat lebih menonjol berbanding PAS apabila parti itu menurunkan pemimpin besar negara ke kawasan yang mempunyai 24,039 pengundi itu.

Dengan kelebihan sebagai kerajaan persekutuan, BN menurunkan pemimpin serta barisan menterinya untuk menggempur lawannya PAS.

Antara yang dilihat konsisten hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, yang juga pengarah jentera BN di DUN itu.

Pada PRK kali ini, BN mencalonkan Mat Razi Mat Ail manakala Pakatan Rakyat diwakili calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim. Seorang calon bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary yang menggunakan logo pen turut mencuba nasib sekali lagi setelah hilang deposit pilihan raya.

Pilihan raya itu diadakan ekoran kematian penyandangnya daripada BN allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar, 57, akibat kanser hati pada 20 Ogos lepas.

Pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 lalu, Noor Zahidi mengalahkan Saharun Ibrahim daripada PKR dan Izat Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

Pengundi Pengkalan Kubor terdiri daripada 92.02 peratus Melayu, 6.81 peratus lain-lain (meliputi Siam), Cina 0.96 peratus, India 0.10 peratus dan bumiputera Sabah dan Sarawak sebanyak 0.10 peratus.

Hampir separuh (43.97 peratus daripada pemilih terdiri daripada golongan muda.

Sementara itu, daripada aspek pendekatan kempen, BN menggunakan kaedah lebih rencam dan tidak bergantung kepada ceramah atau sesi bertemu penduduk semata-mata.

Pembangkang negeri itu dilihat lebih kreatif, antaranya apabila menggunakan persembahan kebudayaan popular tempatan dikir barat dan karnival, menggunakan van bergerak dan sesi santai bersama anak muda.

Mereka juga dilihat cuba mendapatkan sokongan penduduk Siam yang kebanyakannya tinggal di kawasan Geting. Seramai 3,355 pengundi beralamat di tempat itu.

Dalam pilihan raya umum lalu, BN ketinggalan 524 undi di belakang calon Pakatan.

Sementara itu, di pihak PAS pula, mereka dilihat bermula perlahan pada minggu awal kempen. Ini dilihat ekoran pemimpin-pemimpin utamanya tidak dapat hadir berkempen kerana menghadiri muktamar pusat PAS di Johor.

Kempen hari-hari terawal itu sebahagian besar bergantung kepada kerja keras calonnnya Wan Rosli yang bergerak dari rumah ke rumah dan warung ke warung seawal solat Subuh sehinggalah larut malam.

Walaupun pelbagai perkara dibangkitkan kedua-dua pihak, isu sekitar tuntutan royalti minyak Kelantan terus menjadi perkara hangat dalam kempen kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, walau apa pun penjelasan dibuat, tidak dapat dinafikan kelebihan memihak kepada BN apabila timbalan perdana menteri dilihat mahu mendedahkan dokumen perjanjian Kelantan-pusat dalam isu royalti.

Keputusan itu dijadual dibuat kabinet esok. Jika menjadi kenyataan, ia dilihat serangan akhir BN sebelum pengundian pada keesokan harinya.

Bagaimanapun, kelebihan PAS pula apabila dibantu NGO proroyalti dikenali “R” yang sudah sekian lama mengadakan kempen berkaitan melalui pelbagai kaedah, untuk memberi penerangan kepada pemilih.

PAS juga dilihat masih mengharapkan ketokohan mursyidul am dan bekas menteri besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat yang tetap turun berkempen walaupun baru sahaja menghadapi masalah kesihatan sebelum ini.

Walaupun uzur, beliau turut mengikuti Wan Rosdi merayu undi di beberapa kawasan serta menyertai ceramah Jumaat di hadapan 700 orang penyokong, jumlah terbesar sepanjang kempen berlangsung.

Walaupun PAS turut terkait dengan masalah dalaman parti serta krisis menteri besar Selangor, perkara itu bagaimanapun tidak memberi kesan kepada pengundi Pengkalan Kubor.

Pengundi di kawasan itu juga lebih senang sekiranya isu-isu tempatan yang dijadikan sebagai isu utama.

Dengan selesaikan kemelut sekitar pemilihan menteri besar Selangor dengan pelantikan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, PAS dilihat akan melakukan pecutan akhir menjelang pilihan raya Khamis ini.

Lebih banyak ceramah perdana yang membariskan tokoh-tokoh nasionalnya akan disusun menjelang saat-saat terakhir.

Berbeza dengan modal terakhir BN yang dijangka akan mendedahkan perjanjian royalti minyak untuk memberi kelebihan kepada mereka, sentuhan penyudah PAS masih belum diketahui?

Adakah PAS sudah bersedia dengan jawapan mereka atau ada “sesuatu” yang belum dinyatakan?

Lihat Komen
ADS