Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mukhriz tak puas hati tak banyak daftar Matrade

Syarikat-syarikat di Kedah digesa supaya mendaftar sebagai anggota Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bagi membolehkan mereka mendapat maklumat pasaran serta peluang perdagangan terkini, terutama di pasaran antarabangsa.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata sehingga kini, sejumlah 312 syarikat dari Kedah telah berdaftar dengan Matrade, dengan 264 terdiri daripada syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) manakala 48 lagi syarikat besar.

Katanya beliau tidak berpuas hati dengan angka tersebut kerana ia menunjukkan banyak syarikat di negeri ini masih tidak berdaftar dengan Matrade.

"Sektor pemakanan yang paling ramai daftar dengan Matrade, diikuti minuman dan produk lain seperti farmaseutikal, kelengkapan dandanan diri, kosmetik, perabot serta elektrik dan elektronik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Forum Pengeksport Matrade 2014 di Sungai Petani hari ini.

Hadir sama Pengerusi Matrade Datuk Noraini Ahmad.

Mukhriz berkata beliau banyak berbincang dengan syarikat-syarikat di Kedah tentang usaha untuk mengeksport produk mereka ke luar negara, namun ramai ragu-ragu untuk memasarkan produk mereka ke luar negara.

"Masalah mereka antara lain ialah bimbang ada tempahan dari luar negara dalam kuantiti yang besar sehingga mereka tidak cukup kapasiti (untuk menanganinya). Mereka takut ia akan menjejaskan nama syarikat dan juga nama negara," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama dapat dijalin dengan institusi perbankan bagi membantu dalam aspek modal serta bantuan kemudahan perdagangan".

"Jangan tunggu dapat tempahan, baru nak fikir (bantuan modal). Jika ikut Matrade pergi misi perdagangan, apabila syarikat datang dengan sokongan bank, syarikat sana (luar negeri) lebih yakin dengan syarikat Malaysia untuk memenuhi tempahan," katanya.

Mukhriz berkata usahawan yang baharu memulakan perniagaan juga perlu mendaftar awal dengan Matrade bagi mendapatkan maklumat yang boleh membantu mereka memajukan perniagaan.

"Daftar dengan Matrade bukan bermaksud terus nak eksport produk, tapi untuk dapat maklumat. Malaysia banyak menandatangani perjanjian perdagangan bebas ...banyak peluang tetapi banyak syarikat tak tau. Banyak tak tau tentang pelepasan cukai kalau eksport," katanya.

Beliau berkata jika usahawan di Kedah memanfaatkan kemudahan yang disediakan Matrade, eksport dari Kedah ke luar negeri mampu ditingkatkan ke tahap yang jauh lebih baik.

Terdahulu dalam ucapannya, Mukhriz menggesa syarikat-syarikat di Kedah memanfaatkan maklumat dan bantuan yang disediakan Matrade dan perlu berani mengembangkan prospek perniagaan serta meneroka pasaran antarabangsa untuk menggalakkan jenama tempatan berkembang di peringkat antarabangsa.

"Saya percaya jika semua usahawan, termasuk petani dan nelayan di Kedah dapat beralih kepada paradigma baharu dalam pengeluaran dan pemasaran barangan, sektor eksport akan memberi pulangan yang cukup besar kepada perkembangan ekonomi negeri," katanya.

Beliau berkata Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan seperti Matrade, menganjurkan pelbagai program pembangunan usahawan untuk melahirkan golongan profesional dan usahawan global yang berjaya dan berani menghadapi cabaran.

- Bernama

Lihat Komen
ADS